Tuan Guru Jawab Kemusykilan

Mursyid Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata cadangan Pas untuk membuka keahliannya kepada bukan Islam bukan satu 'gimik politik' untuk meraih undi pada pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya, cadangan itu telah lama diperjuangkannya pada setiap kali berlangsungnya muktamar agung Pas Pusat yang bermatlamatkan supaya orang bukan Islam boleh mengenali Islam dengan lebih dekat, lapor BERNAMA.


"Saya merupakan orang yang cukup kuat menyokong untuk meluaskan keahlian Pas kepada orang bukan Islam dengan tujuan supaya Islam ini tidak hanya terkurung di kalangan orang Islam sahaja," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.


Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata menjadi kewajipan bagi orang Islam berdakwah supaya orang bukan Islam mengenali Islam dalam pelbagai bidang tetapi Islam melarang memaksa golongan berkenaan memeluk Islam.


"Sekurang-sekurangnya mereka tahu perbezaan antara Islam dan tidak Islam, dia nak terima Islam, Alhamdulillah...tak nak terima Islam kita sudah tunai tanggungjawab," katanya.


Beliau berkata, langkah Pas membuka keahliannya kepada bukan Islam mengikut syarat-syarat tertentu boleh memecahkan "batas" tebal yang dibuat oleh penjajah untuk memisahkan orang Islam dan bukan Islam.


Nik Aziz juga yakin cadangan berkenaan tidak akan memberi kesan negatif yang besar kepada parti itu khususnya ahli-ahli Pas yang ada antaranya mengancam untuk keluar meninggalkan parti itu kerana tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.


Beliau berkata setiap perubahan yang hendak diperkenalkan sudah pasti mendapat pelbagai reaksi.

"Waktu kita masuk barisan (Barisan Nasional) ada orang Pas keluar, bila kita terima S46 (Parti Melayu Semangat 46) ada orang Pas buat parti Islah...tiap-tiap satu gerakan baru mesti ada reaksi...tak apa Insyaallah, lama kelamaan benda ini akan hilang," katanya.


Ditanya sekiranya cadangan itu ditolak oleh perwakilan pada muktamar khas kelak, Nik Aziz berkata : "kalau perwakilan tolak kita nak buat macam mana".

MR~2 June, 1999