UMNO Bimbang Jika Kaum Bukan Islam Sertai PAS

Tidak timbul soal pengubahan dasar parti, atau menukar nama parti atau diskriminasi mahupun sesuatu yang pelik, ekoran cadangan PAS membuka keahliannya kepada kaum bukan Islam.

Kefahaman ahli PAS negeri ini (Perak) berhubung isu pelawaan orang bukan Islam menjadi ahli bersekutu tidak diragui sama sekali. Beberapa pemimpin atasan dan peringkat bahagian memaklumkan selepas muktamar PAS kali ke 45 lalu, bahawa mereka bersetuju atas apa saja keputusan yang sedang dalam kajian PAS bagi meneruskan usaha ini.

Penyertaan bukan Islam sebagai ahli parti bukan bermakna melakukan diskriminasi dengan tidak membenarkan mereka memegang jawatan tinggi dalam parti itu. Malahan wakil atau nazir akan dilantik dari kalangan kaum tertentu yang menyertai PAS.

Apa yang tidak mungkin menjadi sandangan oleh kaum bukan Islam dalam PAS ialah jawatan yang bertanggungjawab dalam mengubah 'dasar parti' yang menerima Al_Quran sebagai dasar perlembagaan parti itu.

Selain daripada jawatan tersebut, orang bukan Islam dipercayai akan memungkinkan mereka memegang apa-apa sahaja jawatan yang sesuai, meskipun diperingkat tinggi. Lagipun kehadiran mereka dalam PAS merupakan golongan minoriti dan mereka juga mesti taat dan patuh kepada perlembagaan parti iaitu Al_Quran dan Sunnah.

Segala tohmahan puak UMNO bagi mengelirukan rakyat berhubung isu penerimaan ahli kaum bukan Islam ke dalam PAS dilihat sebagai 'bangkerap politik' kerana apa sahaja agenda mereka ditolak oleh rakyat, khusus berugama Islam.

Seorang ahli PAS berkata, 'lebih baik cuci tepi kain sendiri' yang ditujukan kepada UMNO yang melindungkan ketenatannya dalam mencari sokongan padu rakyat negara ini.

MR~2 June, 1999