Sebanyak empat usul diterima untuk perbahasan di Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-45 baru-baru ini. Berikut adalah teks penuh empat usul tersebut.
Dalam rangka menjunjung ketinggian Islam (supremacy of Islam) dan dalam usaha melebarluaskan lagi peluang PAS untuk mencapai matlamat perjuangannya dan mendapat sokongan rakyat.
Dengan mengambil pertimbangan bahawa dalam konteks realiti politik sekarang yang menunjukkan citarasa (mood) rakyat terbanyak yang meletakkan harapan supaya PAS berperanan untuk merealisasikan suatu bentuk persefahaman atau kerjasama di antara parti-parti pembangkang sebelum pilihan raya sesuai dengan sikap keterbukaan PAS.
Maka Muktamar Tahunan PAS kali ke-45 yang bersidang di Markaz Tarbiyyah PAS Taman Melewar, Kuala Lumpur, pada 14 Safar 1420H bersamaan 30 Mei 1999, dengan ini membuat ketetapan bersetuju PAS mengambil inisiatif utama meningkatkan peranan dalam menerajui sebarang bentuk persefahaman dan kerjasama dengan parti-parti pembangkang lain bagi menghadapi pilihan raya akan datang dan dengan ini meneruskan perundingan untuk mengadakan dan peluang supaya dapat dimanfaati bersama.
Menyedari bahawa masalah sosial di kalangan remaja banyak berpunca daripada pengabaian tanggungjawab kaum ibu terutama yang bekerja dan memahami bahawa ibu-ibu yang bekerja terpaksa berhadapan dengan masalah dan bebanan di tempat kerja di samping tanggungjawab hakiki terhadap kelaurga.
Maka Muktamar Tahunan PAS kali ke-45 yang bersidang di Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar, Kuala Lumpur, pada 14 Safar 1420H bersamaan 30 Mei 1999 mengusulkan agar PAS Pusat bersama NGO yang lain mendesak Kementerian Sumber Manusia agar prihatin, dan seterusnya memastikan agensi kerajaan dan swasta juga kilang-kilang menyediakan kemudahan Nurseri di tempat kerja dan melaksanakan waktu bekerja anjal bagi kaum wanita selaras dengan Syariat Islam.
Bahawasanya SPR sebagai sebuah badan bebas kerajaan yang diamanahkan untuk mengendalikan urusan yang berkaitan dengan pilihan raya adalah dikehendaki dan dituntut oleh kesemua lapisan rakyat sesuai dengan sistem demokrasi yang kita amalkan sekarang, untuk meningkatkan keupayaan dengan menentukan ianya benar-benar berperanan yang bertanggungjawab, bebas dan telus daripada sebarang pengaruh politik dan penyelewengan yang dilakukan melalui penyusupan dan penyamaran.
Maka Muktamar Tahunan PAS Kali ke-45 yang bersidang di Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar, Kuala Lumpur, pada 14 Safar 1420 H bersamaan 30 Mei 1999 dengan ini:
- Pertindihan (duplication) nama seseorang Pemilih dalam Daftar Pemilih.
- Individu yang telah mati masih dikekalkan dalam Daftar Pemilih
- Penggunaan nama seseorang untuk didaftarkan tanpa pengetahuannya. Dan orang lain akan mengundi menggunakan namanya.
Menyedari peri pentingnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempunyai kekuatan di dalam menghadapi Barisan Nasional dalam pilihan raya umum yang akan datang serta betapa pentingnya strategi yang diambil benar-benar tidak membawa mudharat kepada perjuangan dan tidak bercanggah dengan dasar prinsip perjuangan PAS.
Maka Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-45 yang bersidang di Markaz Tarbiyyah PAS Taman Melewar, Kuala Lumpur, pada 14 Safar 1420H bersamaan 30 Mei 1999 mengambil ketetapan agar ditingkatkan kesedaran yang menyeluruh di kalangan umat Islam tentang pentingnya mereka menggemblengkan kekuatan dalam menegakkan negara Islam sebagai dasar perjuangan yang diterajui oleh PAS.
Ihsan: Parti Islam SeMalaysia (PAS)
4 June, 1999