Media Berat Sebelah
6 June, 1999 - Kegiatan media massa yang berat sebelah dan menimbulkan provokasi terhadap pembangkang dilihat sebagai usaha membantu Kerajaan BN kerana pilihanraya menjelang tiba. Demikian antara ucapan raya Presiden PAS Datuk Fadzil Noor di Pulai Condong, dekat Kota Bharu malam tadi.
Aktiviti media sedemikian dengan memutarbelitkan satu-satu isu adalah untuk membuktikan kepada rakyat bahawa gagasan Barisan Alternatif bersifat rapuh dan lemah dan meminta rakyat jangan terpengaruh dan menolaknya.
Tindakan media itu dapat dilihat dengan jelas melalui isu membuka keahlian bukan Islam dalam PAS yang menerima reaksi hebat dari UMNO.
"Kita baru buat cadangan, belum ada keputusan lagi, tetapi mereka menghentam macam keputusan telah dibuat...mungkin mereka takut kita dapat banyak sokongan dari bukan Islam," katanya.
Beliau berkata kebimbangan yang melanda Kerajaan BN terutamanya UMNO untuk menghadapi pilihan raya ini ialah kerana mereka (UMNO) belum yakin untuk menghadapi pakatan pembangkang melalui Barisan Alternatif.
"Sebab itu sehingga kini mereka tidak mahu mengisytihar pilihan raya umum," katanya.~MR