Anwar Failkan Afadavit Balas!
8 June, 1999 - DSAI hari ini memfailkan afidavit balasan bagi menjawab afidavit yang difailkan PM Mahathir Mohamad untuk menyokong permohonannya membatalkan saman fitnah RM100 juta yang dikemukakan terhadapnya oleh DSAI. Demikian lapor BERNAMA.
Afidavit balasan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Wisma Denmark, di sini, oleh Tetuan Karpal Singh & Co pada petang ini.
Dalam afidavit balasannya, DSAI berkata permohonan Dr Mahathir serta afidavit yang menyokong permohonannya adalah defektif berasaskan dua alasan termasuk saman dan afidavit itu telah gagal mematuhi peruntukan Aturan 18, Kaedah 19 (2) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.
DSAI berkata afidavit yang menyokong permohonan Dr Mahathir adalah defektif kerana ia kurang jelas dari segi mencerminkan bagaimana fakta-fakta yang dideposkan itu dapat memenuhi keperluan undang-undang supaya perintah yang dipohon di dalam saman itu dapat diperintah oleh mahkamah.
Beliau juga mengemukakan bantahan awal untuk mendapat perintah mahkamah supaya menolak permohonan itu dengan kos.
DSAI berkata tuntutannya terhadap Mahathir adalah bahawa perdana menteri telahpun menyatakan perkataan itu dengan palsu, berniat jahat dan juga dengan secara melulu didorong niat jahat dan tanpa berhati-hati semasa ianya ditutur.
Beliau berkata tuntutannya terhadap Dr Mahathir adalah bermerit dan mempunyai isu serius untuk dibicarakan serta bukan suatu yang bersifat nyata tidak boleh dikekalkan.
DSAI mendakwa Dr Mahathir tidak jujur apabila menyatakan bahawa perkara yang disebutkan dalam afidavit perdana menteri itu adalah memadai untuk menyokong percakapan beliau pada persidangan media dan mahkamah boleh membatalkan tuntutannya terhadap Dr Mahathir.
Dalam samannya, DSAI, 51, mendakwa bahawa Dr Mahathir memfitnahnya pada persidangan media yang diadakan di Jabatan Perdana Menteri pada 22 Sept tahun lepas.
Beliau mendakwa bahawa Dr Mahathir secara palsu dan berniat jahat bercakap kepada wartawan tempatan dan asing mengenai perkara-perkara yang menyentuhnya atas sifat beliau sebagai timbalan perdana menteri.
DSAI berkata oleh itu, penerbitan perkataan-perkataan yang diucap oleh Dr Mahathir telah merosakkan nama baik, perwatakan dan reputasinya sama ada di peringkat negara mahupun antarabangsa.
Dr Mahathir, dalam kenyataan pembelaannya, berkata perkataan-perkataan yang dikatakan fitnah itu disiarkan atas sifat beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia berdasarkan perlindungan bersyarat.
DSAI dalam jawapannya berkata pembelaan berdasarkan perlindungan bersyarat tidak terpakai ke atas Dr Mahathir. DSAI berkata Perdana Menteri tidak boleh bergantung kepada pembelaan berdasarkan perlindungan bersyarat kerana Dr Mahathir, ketika menuturkan dan menyebabkan perkataan-perkataan itu disiarkan dan disiarkan semula di peringkat negara dan antarabangsa, telah bertindak secara secara palsu dan berniat jahat.
Selain menuntut ganti rugi RM100 juta, kos dan relif lain yang difikirkan patut oleh Mahkamah, DSAI memohon injunksi untuk menghalang Dr Mahathir daripada membuat apa-apa lagi kenyataan yang memfitnahnya.
DSAI juga menyaman Sun Corporation Sdn Bhd dan menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta kerana fitnah bertulis berhubung dengan artikel yang disiarkan dalam akhbar The Sun, ekoran saman terhadap perdana menteri.~MR