Terkotor Perlu Diganti 'Terbersih'
8 June, 1999 - Kenyataan Mahathir bahawa pilihanraya umum akan datang akan menjadi pilihanraya terkotor dalam sejarah, mungkin akan jadi kenyataan jika Kerajaan tidak mengamalkan sikap adil dan saksama semasa memantau perjalanan pilihanraya itu.
Perkara ini menjadi kebimbangan rakyat kerana Kerajaan boleh melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka menang dalam pilihanraya akan datang sekalipun menggunakan cara 'terkotor'.
Ketua pembangkang Lim Kit Siang pula menyarankan parti-parti politik menggariskan apa yang dipanggilnya "Kod pilihan raya yang Bebas, Adil dan Bersih" bagi memastikan pilihan raya umum yang akan diadakan tidak yang "terkotor" dalam sejarah.
Mereka harus mempunyai komitmen bagi memastikan pilihan raya yang akan datang tidak menjadi yang paling kotor dalam sejarah, dengan mewujudkan kod seumpama itu.
Kod pilihan raya itu harus diawasi oleh sebuah suruhanjaya yang mengandungi rakyat Malaysia yang terkemuka, yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk menegur parti politik yang melanggar kod tersebut.~MR