PAS TIDAK KORBAN DASAR

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri berkata, cadangan draf pindaan perlembagaan PAS yang mewujudkan Ahli Bersekutu PAS sama sekali tidak bermaksud untuk memancing undi dalam pilihan raya umum.

"Tidak juga untuk mengubah dasar dan matlamat PAS. Prinsip dasar Islam PAS tetap terpelihara," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di pejabatnya bagi menghilangkan kekeliruan yang ditimbulkan oleh media massa tempatan berhubung ucapannya di Muktamar Tahunan PAS yang menyebutkan mengenai Ahli Bersekutu (bukan Islam) di dalam PAS.

Menurutnya, apa yang disebutkan di dalam Muktamar itu ialah hanya mengenai cadangan draf pindaan perlembagaan PAS 1999 yang sedang dirangka dan akan dibentangkan dalam beberapa mesyuarat di peringkat tertinggi parti untuk dibahas, kemudian jika diluluskan di bawa pula ke Muktamar Khas PAS suatu masa nanti untuk dibahaskan lagi oleh perwakilan sama ada bersetuju untuk diluluskan atau tidak. Jika diluluskan akan dikemukakan pula kepada Pendaftar Pertubuhan untuk mendapat kelulusan.

Ini bermakna, katanya, proses ini cukup lama dan jelaslah ia bukan untuk maksud memancing undi bukan Islam dalam pilihan raya umum akan datang seperti yang dituduh oleh sesetengah pihak.

"Langkah ini tidak sama sekali mengubah dasar dan matlamat perjuangan PAS, dan saya harap mereka mengkaji betul-betul kenyataan saya," katanya.

Di bawah ini ialah hasil temu ramah khas Harakah dengan Naib Presiden PAS yang juga Pengerusi Ahli Jawatankuasa Perlembagaan PAS, Ustaz Hassan:

"Saya ingin menegaskan bahawa ahli bersekutu PAS (bukan Islam) yang diwujudkan dalam draf cadangan pindaan perlembagaan PAS 1999 ini mempunyai syarat, iaitu ahli bersekutu itu ialah mana-mana orang yang bersedia menerima dasar, tujuan dan usaha PAS seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PAS. Dasar PAS yang mesti mereka terima ada dalam Fasal 3, iaitu dasar PAS Islam. Sementara tujuannya disebut dalam Fasal 5, iaitu memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredzaan Allah s.w.t. Dan mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara. Ertinya ahli bersekutu ini mesti menerima dasar dan matlamat perjuangan PAS. Kita tidak berkompromi dalam hal ini.

Ahli Bersekutu ini mestilah 1. Warganegara Malaysia, 2. Berumur 18 tahun ke atas, 3. Membayar yuran masuk menjadi ahli sebanyak RM2.00. 4. membayar yuran tahunan sebanyak RM3.00 setahun atau Yuran Sekaligus sebanyak RM100.00 5. Mengaku patuh kepada keputusan dan ketetapan parti dari masa ke semasa. 6. Seorang ahli bersekutu yang dengan sukarela memeluk Islam, maka ia dengan sendirinya menjadi ahli biasa PAS. 7. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan persetujuan Majlis Syura Ulamak bolehlah membenarkan mana-mana ahli bersekutu menyertai dan menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, tetapi bilangannya tidak lebih dari satu perempat.

Perlu saya tegaskan di sini bahawa saya begitu lama dalam PAS. Saya giat dalam pilihan raya sejak tahun 1955, 1959, dan bertanding 69 sampailah sekarang. Saya tidak pernah terfikir nak mengorbankan dasar PAS dalam cara berfikir dan tindakan.

Dan dalam perlembagaan PAS ini sayalah yang banyak membuat pindaan menyeluruh pindaan perlembagaan 1993 dulu ini.

Ada banyak lagi pindaan yang lain misalnya saya cadangkan di sini Jawatankuasa Kerja PAS Pusat akan bertambah dari dua jadi tiga orang. Sayapun suka benda ini dihebahkan agar ahli PAS tahu dan saya pun semalam meminta agar mereka memberikan pandangan jadi mudahlah saya bekerja.

Naib presiden bertambahlah dari satu jadi dua dan kini jadi tiga. Itu saya buat mengikut pindaan.

Seperti yang saya telah sebut selalu bahawa kita buat draf pindaan ini setelah mengkaji berbagai sudut dan aspek.

Sebenarnya usaha untuk mengadakan ahli bersekutu ini sudah dibuat oleh Almarhum Prof. Zulkifli Mohamad pada 1962. Tetapi pada waktu itu suasana tidak lagi mengizinkan. Jadi bercakap dari segi politik pilihan raya, pada waktu itu kawasan majoriti masih dikuasai oleh orang Islam. Dari sudut bacaan politiknya tidak ada kepentingan dan masalah. Ertinya PAS sudah berfikir hal ini lama dulu.

Yang keduanya, dari segi rialitinya warganegara Malaysia terdiri juga dari orang Islam dan bukan Islam. Orang bukan Islam juga beranak sebagai warganegara Malaysia yang tidak boleh dinafikan kewarganegaraannya. Apabila jadi seorang warganegara kemudian ia mendaftar diri sebagai pengundi maka ia mempunyai kuasa politik. Maka kita tidak seharusnya biarkan begitu saja mereka. Maknanya dari segi perlembagaan hak politik dia sudah ada walaupun Islam memerintah. Dia bebas memilih parti dan bebas memilih calon yang disukainya.

Dengan demikian pada pengalaman kita tidaklah mustahil bahawa orang bukan Islam mengundi calon PAS yang terdiri daripada orang Islam. Dengan demikian tentulah juga tidak mustahil orang bukan Islam mengundi calon yang dikemukakan oleh PAS dari kalangan ahli bersekutu yang terdiri dari orang bukan Islam sama ada dia orang India, Cina atau keturunan Thailand jika mereka memenuhi semua syarat dalam perlembagaan PAS.

Saya hendak sebut di sini akan makna orang bukan Islam bahawa bukan Islam ini merangkumi semua, semua bangsa dan kaum apa juga yang bukan Islam. Kalau dia hendak menyertai perjuangan, hendak menegakkan keadilan melalui PAS apa salahnya, iaitu melalui Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Kalau selama ini mereka berkata ada persamaan dalam menegakkan keadilan, jadi apa salahnya bersama PAS.

Inilah pandangan jauh PAS untuk menangani masalah politik Islam dan bukan Islam. Melalui ahli bersekutu ini mereka boleh sama-sama memperjuangkan kebaikan seperti apa yang diperjuangkan oleh PAS selama ini.

Draf cadangan pindaan perlembagaan PAS ini hanya baru pada peringkat cadangan, yang akan dibahaskan dalam peringkat tertinggi parti, kemudian jika diluluskan dibawa pula ke Muktamar Khas untuk dibahaskan oleh perwakilan dan jika diluluskan maka barulah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan untuk diluluskan.

Maknanya proses ini memakan masa lama, lepas pilihan raya umum. Dengan demikian tidak berasas sama sekali tuduhan yang dilimparkan oleh golongan tertentu bahawa PAS ini untuk memancing undi orang bukan Islam dan mengorbankan dasar dan perjuangannya apabila membuka pintu bukan Islam (ahli bersekutu) menjadi calon PAS."

Ihsan: Laman Web PAS