'HASUT RAKYAT' MERUPAKAN PROPAGANDA UMNO
10 June, 1999 - Kenyataan PM Diktator Mahathir yang mengatakan bahawa kuasa asing sentiasa mencari ruang menghasut rakyat supaya membenci kerajaan dan membenci golongan bumiputera yang berjaya melalui dasar DEB dan penswastaan negara, adalah gimik politik semata.
Memang benar dasar penswastaan mengkayakan beberapa orang bumiputera tetapi majoriti rakyat tidak dibela nasibnya. Sebaliknya mereka ditindas di negara sendiri oleh golongan bumiputera yang mengaut kekayaan negara dan wang itu disimpan di bank-bank di negara asing.
Perbuatan merompak dan menyamun secara terhormat ini merupakan sebab utama mengapa rakyat bangun menentang dasar kerajaan yang memihak kepada golongan tertentu. Manakala majoriti rakyat terus ditindas bagi menjayakan program mereka. Pembahagian kekayaan negara tidak adil dan zalim.
Golongan yang kaya ini juga kerap melarikan diri dari membayar cukai bagi membiayai pembangunan negara. Tahun lalu PM Mahathir telah mengecualikan cukai korporat yang menunjukkan pembelaan kepada golongan berkenaan. Pembelaan rakyat yang miskin bagaimana pula?
Tidak ada yang menghasut rakyat sebagaimana dakwaan PM Mahathir, kecuali itu hanyalah gimik politik yang bersifat murahan. Rakyat harus bangun menyuarakan pendapat mereka serta tentangan terhadap dasar kerajaan yang zalim.
Pelbagai insitusi kewangan dan dana ditubuhkan di negara ini, tetapi satu pun tidak memihak membela nasib rakyat, melainkan ianya bersifat program yang menindas dan membuli rakyat.~MR