REFORMASI MUNGKIN BERTUKAR REVOLUSI

10 June, 1999 - Gerakan Reformasi negara yang dipelopori oleh DSAI mungkin akan bertukar sebagai 'revolusi' negara, jika UMNO tumbang melalui pilihanraya umum akan datang.

Pemerhati politik berpendapat tahap kezaliman yang berlaku sekarang, terutamanya yang berbentuk penzaliman terhadap ugama Islam yang diperkotak-katikkan oleh golongan pemerintah, akan menyangkal sebarang tuduhan bahawa rakyat negara ini tidak mungkin melakukan perubahan secara mendadak (revolusi).

Komitmen yang ditunjukkan oleh rakyat negara ini terhadap perjuangan Barisan Alternetif merupakan satu petanda ke arah revolusi itu dan kejatuhan Barisan Nasional.

Angin reformasi di negara Indonesia yang akan memihak kepada gerakan reformasi negara itu memungkinkan semangatnya ditiup dan mempengaruhi minda rakyat negara ini bahawa kezaliman mesti ditolak secara total.

Dakwaan PM Mahathir mengatakan sikap pengundi Malaysia masih bersifat konservatif perlu dilihat dalam perspektif yang menyeluruh bukan dari pandangan peribadi beliau atau partinya sahaja.

Dalam masa yang sama PM Mahathir Mohamad mengakui bahawa BN menghadapi masalah di beberapa negeri seperti Perlis, Terengganu dan Kedah yang nyata gagal untuk memikat pengundi supaya mengundi parti Kerajaan.

Beliau disifatkan sebagai berkata, "Mereka mungkin dapat mempengaruhi rakyat berdasarkan agama. Tetapi rakyat kita lebih berpelajaran dan kami telah berjaya menjelaskan bahawa mereka ini hanya menggunakan agama".

Dakwaan Mahathir itu tidak benar kerana majoriti rakyat (terutama berugama Islam) kini telah faham perjuangan sebenar UMNO yang memutarbelikan Islam dan mendakwa mempertahankan kedaulatannya, namun sebagai bukti setelah 42 tahun memerintah negara Islam masih gagal dilaksanakan. Ini menunjukkan bahawa usaha kerajaan ke arah perlaksanaan Islam adalah tidak bersungguh-sungguh.~MR