PAS yakin tawan 5 negeri

Oleh AMIR RAMADZAN IBRAHIM

10 June, 1999 - PAS berkeyakinan akan menawan lima negeri dalam pilihan raya akan datang iaitu Kedah, Perlis, Terengganu, Kelantan dan Pahang di samping menambahkan bilangan kerusi Parlimen dan mempunyai kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri lain.

"Pada pandangan kita, negeri-negeri yang dikuasai oleh Barisan Nasional (BN) ada banyak masalah pembaziran, salah guna kuasa, dan kita akan betulkan keadaan ini."

Demikian kata Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd. Noor ketika diwawancara oleh koresponden Far Eastern Economic Review, Murray Hiebert, di pejabatnya di sini.

Menurutnya, Kelantan yang diperintah oleh PAS sekarang akan menjadi model dari aspek-aspek pemerintahan yang tidak ada amalan korupsi, nepotisme dan rakyat bebas melakukan kegiatan ekonomi mereka.

Dalam wawancara itu juga, Dato' Fadzil menegaskan tidak ada percanggahan antara perjuangan keadilan dengan kewujudan pemerintahan Islam kerana kerajaan Islam adalah kerajaan yang adil, baik, menghormati kehendak rakyat dan mempunyai tanggungjawab serta amanah untuk rakyat.

"Tidak ada percanggahan sebenarnya, yang pentingnya adalah substance atau ciri yang dilaksanakan dalam kerajaan bukannya form," katanya ketika mengulas mengenai apa yang didakwa perbezaan arah antara memperjuangkan keadilan dengan misi PAS mewujudkan kerajaan Islam.

Menurutnya, pemerintahan Islam menghormati hak-hak individu, soal-soal keadilan, tidak menyeleweng atau menyalahguna kuasa, dan tidak menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan kepentingan rakyat.

"Itulah pemerintahan Islam, bukannya daripada segi form (bentuk), dan saya percaya ia memerlukan masa tetapi itulah yang akan kita laksanakan," ujarnya.

Jika PAS memenangi pilihan raya umum akan datang, PAS akan membentuk kerajaan yang bersih dari rasuah, nepotisme atau pembaziran dan akan memberikan pembelaan pada rakyat, katanya.

Dato' Fadzil juga berkata, apa yang dikatakan "pemulihan ekonomi" tidak akan mengaburi kemarahan rakyat tentang korupsi atau nepotisme dan PAS percaya rakyat akan menggunakan kuasa mereka dalam pilihan raya umum nanti.

Sokongan rakyat yang semakin bertambah terhadap PAS adalah kerana mereka telah kecewa dengan Umno seperti masalah pilih kasih, kronisme dan juga kes Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mendorong mereka mengambil inisiatif menyertai PAS, katanya.

Sejak kes Anwar, PAS mencatatkan pertambahan ahli baru sejumlah 120,000 orang yang menjadikan ahlinya secara keseluruhan melebihi 600,000 sekarang.

Mengenai penyertaan golongan profesional dalam PAS kebelakangan ini, beliau berkata, penyertaan itu akan membolehkan PAS akan dilihat sebagai parti yang mewakili semua golongan dalam masyarakat termasuk golongan intelektual, profesional dan korporat yang menggambarkan kesederhanaan dan keterbukaan PAS.

"Kita nak memberikan satu imej pada rakyat yang sebelum ini melihat PAS dimonopoli oleh golongan agama, bahawa PAS mewakili semua golongan dan lebih ramai lagi golongan profesional akan menyertai PAS," katanya.