11 June, 1999 - Seluruh rakyat di negara ini sama ada penyokong parti politik bukan Islam ataupun gerakan Islam hendaklah bertekad membuat perubahan besar dalam pilihan raya umum terdekat supaya parti-parti alternatif menjadi kerajaan dan Umno/BN yang banyak melakukan kezaliman bertukar menjadi pembangkang.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membuat gesaan itu ketika mengulas dan menolak propaganda Umno/BN bahawa parti-parti alternatif tidak mampu bekerjasama kerana PAS memperjuangkan negara Islam, manakala parti alternatif lain dengan agenda masing-masing.
Beliau berucap berhadapan dengan khalayak sekitar 10,000 yang mendengar ceramah beliau anjuran MTD Taman Medan dekat sini Sabtu lalu.
"Mereka menyebarkan dakyah parti pembangkang tak boleh bekerjasama, sebenarnya mendedahkan kejahilan dan kebebalan Umno/BN itu sendiri.
"Adakah salah kita bekerjasama dengan bukan Islam untuk menegakkan keadilan yang dituntut oleh Islam? Sedangkan Rasulullah s.a.w. pernah mengadakan pelbagai perjanjian dengan golongan bukan Islam.
"Kerjasama PAS bukan sahaja dengan PRM, Adil dan DAP, malahan kalau ada mana-mana pihak dalam Umno/BN hendak bekerjasama untuk mengalahkan dirinya sendiri, kita sedia bekerjasama," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat negara ini supaya menolak propaganda media Umno/BN yang ingin terus-menerus merasuahkan rakyat dengan umpan pembangunan dan menjadikan mereka sebagai "ayam daging" yang disogokkan makanan semata-mata untuk dijual di pasar dan akhirnya disembelih.
Selain itu, beliau mengulas politik adu-domba Umno /BN yang mengatakan parti pembangkang bercakaran sesama sendiri dalam menentukan siapa bakal menjadi perdana menteri (PM).
"Kita bukan seperti Umno, hanya seorang sahaja yang layak. Musa Hitam tak layak, Ghafar Baba tersingkir, Anwar Ibrahim dipecat. Sebaliknya sekarang ini kita ada ramai pemimpin dan tenaga muda golongan profesional yang layak menjadi PM," katanya.
Ustaz Hadi yang juga ahli Parlimen Marang mengulas mengenai tuduhan pegawai kerajaan dan rakyat tidak berterima kasih kepada kerajaan. Beliau memetik kata-kata tempelak Ustaz Harun Taib, yang disuarakan di dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu:
"Kalau kerajaan Umno/BN hendak melawan Tuhan, keluarlah daripada muka bumi Tuhan!" katanya.
Ihsan Harakah