Kenyataan Pak Lah 'B' Ternyata Khurafat

13 June, 1999 - Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam yang mengatakan bahawa hanya Barisan Nasional (BN) yang didokong oleh Umno patut memimpin negara ini bagi menjamin keamanan dalam negara, adalah khurafat disisi Allah dan beliau perlu bertaubat.

Sebagai makhluk ciptaan Allah kita wajib percaya bahawa sesuatu itu datangnya dari Allah dan tiada benda baharu (ciptaan Allah) boleh memberi 'bekas' . Demikian pesan seorang tokoh ugama negeri ini yang enggan namanya disiarkan.


Tokoh ugama tersebut sebaliknya menyarankan supaya rakyat negara ini harus bersyukur serta menginsafi akan anugerah keamanan dan kedamaian yang dinikmati. Justeru itu keamanan dan kedamaian ini perlu digembelingkan dalam melaksanakan tuntutan dan kewajipan kita kepada Allah dan bukannya berpoya-poya serta melakukan pelbagai maksiat yang dimurkai Allah.

Sekiranya rakyat tidak bersyukur atas nikmat Allah ini, bala dan bencana akan ditimpakan ke atas seluruh umat tanpa mengira bangsa, kaum dan ugama. Kerana itu jelasnya, perlu ada perjuangan yang jelas menegakkan kalimah Allah di bumi ini.~MR