Kenyataan bersama parti alternatif

TAKTIK KOTOR: HANYA BN MAMPU

Oleh ADNAN IBRAHIM

 

 

 

Para pemimpin parti alternatif Dato' Haji Fadzil Mohd. Noor, Datin Seri Dr. Wan Azizah, Lim Kit Siang dan Dr. Syed Husin Ali.

KUALA LUMPUR: Parti alternatif menolak dan menempelak tuduhan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad sambil menyifatkan beliau bernafsu mengekalkan kuasa dengan apa jua cara sekalipun hatta dengan menggunakan taktik paling kotor untuk memenangi pilihan raya.

Sehubungan itu, kenyataan media bersama yang ditandatangani Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd. Noor, Presiden Keadilan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PRM, Dr. Syed Husin Ali dan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang mencabar kerajaan membentuk sebuah suruhanjaya atau pasukan pemerhati antarabangsa serta tempatan.

Kata mereka, keanggotaannya disetujui bersama oleh pihak pemerintah dan parti alternatif untuk memerhati perjalanan pilihan raya akan datang dan melaporkan sekiranya ada taktik kotor yang berlaku dan mengenalpasti pihak melakukannya.

Mereka berkata sepertimana terbukti dalam pilihan raya negeri Sabah pada bulan Mac 1999, beliau (Mahathir) akan mengerahkan jentera media tempatan, menyerapkan pengundi hantu, menyogok pengundi, mengugut pengundi dan menakutkan pengundi untuk memastikan bahawa parti beliau menang.

"Semua orang tahu kami sama sekali tidak mempunyai alat atau jentera untuk melakukan sebarang taktik kotor. Sebaliknya, apakah benar pendapat umum bahawa di bawah Jabatan Perdana Menteri memang sudah lama wujud jabatan taktik kotor atau dirty trick department lengkap dengan segala kaki tangannya," soal kenyataan itu.

Taktik kotor setiap kali pilihan raya

Tambah mereka, sebenarnya taktik kotor itu digunakan dalam setiap pilihan raya sepanjang pemerintahan Mahathir malah sebelum Mahathir pun, sebahagian daripada taktik kotor pilihan raya sudah menjadi lumrah bagi parti pemerintah.

"Apakah dengan menuduh bahawa parti alternatif akan menjadikan pilihan raya kesepuluh yang terkotor dan berunsurkan kekerasan, Dr. Mahathir mengaturkan rancangan untuk mengamalkan apa yang beliau sendiri meramalkan," soal kenyataan itu.

Parti alternatif menolak sama sekali dakwaan Mahathir bahawa pilihan raya umum akan datang bakal menjadi yang terkotor dalam sejarah Malaysia kerana parti pembangkang.

Kata Mahathir pilihan raya ini akan menjadi lebih kotor kerana parti lawan menghalalkan perkataan kesat, jijik, kotor dan mencarut. Katanya juga parti pembangkang terdiri daripada orang yang melakukan rusuhan pada tahun lepas.

Jawab kenyataan itu, parti alternatif tidak pernah menghalalkan perkataan kesat dan kotor dalam ceramah malah menasihatkan penceramah mereka berhujah secara sopan.

Begitu juga yang berlaku rusuhan tahun lepas bukan penyokong parti alternatif tetapi pihak tetentu yang dengan sengaja menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan yang berhimpun secara aman.

Oleh kerana Dr. Mahathir tidak mahu rakyat mengetahui apa yang benar-benar berlaku, beliau tidak berani mengadakan penyiasatan bebas tentang sebab-sebab rusuhan tercetus sepertimana yang dituntut oleh parti alternatif.

Mengenai dakwaan Mahathir bahawa parti pembangkang dibantu oleh dalang-dalang asing untuk menjatuhkan kerajaan.

"Ini juga merupakan satu lagi jahat. Parti alternatif hanya menyalurkan perasaan marah rakyat terhadap kepimpinan Mahathir yang bersifat zalim dan kejam terutamanya dalam peristiwa Anwar Ibrahim.

"Sekiranya kerajaan Mahathir jatuh, ini adalah kerana rakyat telah hilang kepercayaan kepadanya akibat daripada kezaliman dan bukan kerana dalang asing atau media asing.

Ihsan: Harakah