Ketika negara serantau maju ke depan

EKONOMI KITA TERUS LEMBAP

Oleh HJ. AZLAN AHMAD

 

KUALA LUMPUR: Gembar-gembur bahawa 'ubat' yang diberikan oleh IMF tidak betul dan Malaysia mengambil pendekatan yang betul dalam pemulihan ekonomi negara selama ini ternyata meleset kini.

Ini berikutan dari negara penerima bantuan IMF iaitu Korea Selatan dan Indonesia sudah berada di depan dalam pemulihan ekonomi.

Korea Selatan mencatatkan pertumbuhan 4.6 peratus manakala Indonesia mencatat 1.7 peratus untuk suku pertama tahun 1999 ini sedangkan Malaysia sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri masih -1.5 peratus.

Ini membayangkan, pemimpin-pemimpin kerajaan masih meneruskan kempen memperdaya rakyat tentang keadaan sebenar ekonomi negara, kata ahli ekonomi terkenal Universiti Malaya, Profesor Jomo K.S.

Menurut Profesor Jomo, beberapa pengakuan pemimpin kerajaan baru-baru ini telah secara tidak sengaja mendedahkan pengakuan-pengakuan yang tidak benar yang selama ini telah dicanangkan oleh media propaganda mereka.

"Pada bulan lalu, Perdana Menteri Dr. Mahathir mengaku bahawa ekonomi negara telah mencatat pertumbuhan negatif atau pengucupan sehingga (-1.5) peratus untuk suku tahun pertama tahun ini," kata beliau.

Meskipun kerajaan mengenakan kawalan mata wang, kadar faedah lebih rendah lagi, kadar inflasi Malaysia kekal lebih tinggi dari Thailand, Singapura dan juga negara Korea Selatan.

Menurut Profesor Jomo, pada masa yang sama ekonomi Korea Selatan tumbuh pada kadar 4.6 peratus pada suku tahun pertama 1999, manakala Indonesia telah menunjukkan peningkatan kepada (1.7) peratus.

"Apa yang menyedihkan ialah daripada kelima negara Asia yang dilanda krisis ekonomi, Malaysia yang paling lambat dan lembap sekali nak pulih.

"Sebaliknya, propaganda kerajaan menghebohkan faktor pemulihan Indeks Komposit Bursa Saham Kuala Lumpur, dengan mudah mengabaikan pemulihan yang lebih baik dan kukuh di Bursa Saham Jakarta, yakni sehingga 48 peratus sejak pada awal tahun ini," jelas beliau.

Propaganda untuk orang bodoh

Katanya, terdapat banyak faktor di sebalik keadaan atau kejadian yang jelas menyimpang dan ganjil berlaku sekarang ini - "pemulihan ekonomi negara yang lembap tetapi dalam masa yang sama pasaran saham yang tiba-tiba melambung tinggi."

"Propaganda yang dicanang mereka boleh membawa kita ke dalam satu syurga orang bodoh, mempercayai semuanya baik belaka kerana diurus dan diperintah oleh kerajaan yang kononnya baik dan cekap."

Profesor Jomo kesal terhadap penumpuan pemimpin dan juga pembuat polisi ekonomi negara yang lebih mengutamakan kemenangan pilihan raya, menyelamatkan syarikat-syarikat kroni, memulih pasaran saham dan menjaga imej di dalam dan luar negeri daripada memberi penumpuan sepenuhnya kepada pemulihan berterusan ekonomi sebenar negara.

Kata beliau, walaupun bentuk penafian kerajaan telah berubah, namun mereka sepatutnya menyatukan rakyat dan negara untuk menangani krisis ekonomi yang masih berlarutan ini.

"Rakyat Malaysia akan diberi peluang untuk menolak kronisma, penyelewengan dan lain-lain bentuk penyalahgunaan yang sekiranya tidak dihentikan pada jangka panjang akan membawa kepada kepadahan ekonomi yang berterusan," tegas beliau merujuk kepada pilihan raya umum tidak lama lagi.

Malangnya, kata beliau, kekuatan dan pengaruh Umno/BN di segi kewangan, media dan kelebihan alat dan jentera pilihan raya mereka yang lain, mungkin menghalang rakyat Malaysia dari mengetahui alternatif-alternatif lain yang benar dan tepat untuk masa depan ekonomi mereka dan negara.

"Sementara pemulihan ekonomi di rantau Asia telah melibatkan perubahan politik, kegagalan kita untuk merubah kemungkinan besar akan menghalang pengagihan sebenar ekonomi yang sangat diperlukan," jelas Profesor Jomo.

Ihsan:Harakah