OLEH kerana budaya bederma boleh memberi sumbangan yang besar terhadap kestabilan dan keharmonian sesebuah negara, Kerajaan Negeri Kelantan yang berslogankan Membangun Bersama Islam sangat mengharapkan suasana dan budaya seperti ini berlaku di dalam masyarakat.
Demikian dinyatakan oleh YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar, ketika berucap merasmi-kan pelancaran kutipan derma Tabung Serambi Mekah bagi tahun ke-9.
Beliau menjelaskan bahawa antara tujuan mewujudkan Tabung Serambi Mekah bukan sahaja untuk menolong dan membela rakyat, tetapi juga untuk mendidik rakyat supaya lebih banyak mengamalkan ajaran Islam dan sekaligus dapat mewujud dan menjamin kestabilan masyarakat dan negeri ini daripada pelbagai gejala terutama gejala jenayah dan sosial di kalangan rakyat.
"Apabila ramai dari kalangan anggota masyarakat tidak bersifat kedekut sebaliknya suka berderma ia bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah-masalah kemiskinan dan kepayahan hidup yang berlaku di dalam sesebuah masyarakat, tetapi juga ia akan melahirkan satu perasaan untuk membenci perkara yang haram terutama dalam soal mencari harta," katanya.
Tambah beliau harta yang berasal daripada sumber yang haram tidak akan membawa pahala kalaupun kita beri derma kepada orang lain.
Menurut beliau gerakan memungut derma itu bukanlah perkara baru yang sengaja direka-rekakan untuk kepenting-an kita semata-mata, tetapi ia adalah satu budaya yang dicipta dan dilakukan oleh Rasulullah SAW. sendiri.
Katanya, di waktu Rasulullah SAW. menjadi Perdana Menteri dahulu, anggaran perbelanjaan negara yang melibatkan anggara wang masuk dan wang keluar tidak dibuat seperti yang kita buat sekarang ini.
Apa yang ada pada kerajaan Rasulullah SAW ialah menggunakan apa jua sumber yang ada dan diperolehi untuk kepentingan rakyat mengikut keperluan semasa. Antara sumber kewangan negara ialah zakat, al-fi', ghanimah perang dan derma kilat yang dilancar dan dipungut sendiri oleh baginda Rasulullah SAW.
"Oleh itu marilah kita sama-sama wujudkan budaya berderma itu di kalangan kita supaya kita tidak menjadi hamba kepada harta dunia dan tidak menjadi toghut dan angkuh dengan memiliki sebahagian daripada kekayaan Allah di dunia ini," katanya.
Ihsan: Buletin Kelantan