Kenyatan Media - ANCAMAN LUAR: REKAAN
Wed, 16 Jun 1999

Semenjak saya dilucutkan jawatan, Dato Seri Dr. Mahathir telah menggunakan media boneka di bawah kawalan beliau dan Tun Daim Zainuddin untuk membayangkan bahawa saya adalah agen kuasa luar. Bermula dengan afidavit-afidavit yang telah di serahkan pada 3 September 1998, oleh Peguam Negara Mohtar Abdullah dan Musa Hassan, mereka telah bekerja keras untuk mengalihkan perhatian orang ramai terhadap amalan korupsi, kroni dan nepotisme yang diarahkan kepada mereka. Dr. Mahathir masih belum menjawab soalan mengenai korupsi yang melibatkan usaha bailout anaknya, Mirzan dan penyelewengan penggelapan wang parti yang membabitkan Daim Zainuddin. Sebaliknya, apa yang menjadi tumpuan utama jentera siasatan golongan pemerintah ialah bagaimana surat-surat saya boleh diseludup keluar daripada penjara. Begitu juga mereka yang membuat aduan polis menentang korupsi, penyalahgunaan kuasa, pendakwaan yang berniat jahat dengan tujuan untuk membalas dendam, terus diugut dan diancam Peguam Negara.

Sebagai contoh, TV3 dan kumpulan NST yang dimiliki oleh Dr. Mahathir, Daim Zainuddin dan Dato' Abdul Kadir Jasin telah acapkali mengulangi berita tentang lawatan saya ke Pentagon dan sambutan permaidani merah yang telah diberikan kepada saya. Saya juga disambut dengan penghormatan yang sama di China, Filipina, Sudan dan negara-negara lain. Malah, di Sudan, presidennya dan seluruh ahli-ahli kabinet telah menghadiri majlis di mana saya berucap. Tuduhan yang sama telah dibuat mengenai hubungan saya dengan Bank Dunia dan IMF. Agak menghairankan, ialah tidak pula disebutkan tentang Bank Pembangunan Islam (Islamic Development Bank) yang bertempat di Jeddah.

Apatah lagi, presidennya, Dr. Ahmad Muhammad Ali, telah menziarahi kediaman saya sejurus selepas saya dilucutkan jawatan. Sebagai ahli kepada Bank Dunia dan IMF, Menteri Kewangan Malaysia selalu menghadiri perjumpaan kedua-dua badan antarabangsa tersebut. Boleh dikatakan semua kerajaan perlu berinteraksi dengan IMF dan Bank Dunia.Tetapi, interaksi saya dengan pegawai atasan IMF dan Bank Dunia tidak sekali-kali menghalang saya untuk mengkritik sebahagian daripada polisi mereka terutama yang berkaitan dengan negara-negara membangun.

Tentunya, interaksi dengan IMF dan Bank Dunia adalah berbeza dari segi kualitinya jika dibandingkan dengan melantik sebuah firma besar Amerika yang melibatkan diri dalam pentadbiran kewangan yang besar sebagai Penasihat Kewangan Kerajaan Malaysia dalam menangani kegawatan kewangan. Dr. Mahathir dan Tun Daim, dengan segala keghairahan nasionalisnya tanpa segan silu telah memilih Solomon Smith Barney untuk bertindak sebagai penasihat kepada polisi pelaburan dan kewangan negara. Adalah jelas bahawa firma tersebut merupakan antara firma spekulasi yang telah menyerang Dollar Hongkong tahun lepas. Padahal Dr. Mahathir adalah musuh ketat spekulator matawang. Ini adalah satu percanggahan yang nyata!

Saya tidak akan terkejut jika tidak lama lagi mereka akan "mendedahkan" persahabatan saya dengan orang luar yang terkemuka, termasuk ulama. Memang benar, sebagai Timbalan Perdana Menteri dan orang yang cintakan ilmu, saya telah berkawan dengan ulama Islam seperti Almarhum Sheikh Muhammad Al-Ghazali, Sheikh Yusuf Al-Qardhawi, dan Sheikh Taha Jabir Al-Alwani dan intelektual asing yang lain seperti Peter Drucker, Keinichi Ohmae, Tu Wei-ming, Sayyed Hossein Nasr dan Ali A. Mazrui.

Ancaman luar merupakan antara tema yang digemari dikalangan diktator. Stalin dan Mussolini adalah merupakan contoh-contoh yang utama. Saya teringat kepada buku Allan Bullock, Parallel lines: Hitler and Stalin. Hitler telah membangkitkan sentimen popular menentang kaum Yahudi dan bukan Aryan. Di sana sentiasa ada musuh luar untuk menghancurkan bangsa Jerman. Stalin mengongkong mentaliti bangsanya untuk melangsungkan cengkaman kuku besinya ke atas rakyat. Kedua-dua diktator tersebut telah menggunakan "ancaman luar: ciptaan" untuk menekan mereka yang mengancam pemerintahan autokratik mereka.

Tidakkah hal ini menyamai apa yang telah dilakukan oleh Hitler yang telah mencipta tuduhan-tuduhan liwat terhadap orang kedua dalam angkatan tenteranya? Goebbels, pereka propagandanya yang terkenal yakin bahawa fitnah dan pembohongan yang diulangi berkali-kali akhirnya akan mempengaruhi sesetengah orang, bahawa apa yang diperkatakan itu adalah benar.

Pengkhianat yang sebenarnya adalah orang yang merompak kekayaan nasional untuk kepentingan kroni dan saudara maranya, mempersendakan kepercayaan agama dan kedudukan ulama serta menghina budaya yang mereka sendiri mendakwa sebagai pendokongnya. Masyarakat hendaklah berhati-hati akan taktik kotor yang dimainkan oleh golongan pemerintah terutamanya bagaimana mereka telah cuba untuk mengalihkan perhatian daripada tuduhan-tuduhan bahawa mereka adalah korup.

Saya ulangi, bukankah ianya satu korupsi apabila Perdana Menteri yang mempunyai kuasa terhadap Petronas meluluskan bailout sebanyak 1.8 bilion Ringgit ke atas firma yang dimiliki anaknya sendiri? Saya mempunyai dokumen-dokumen membuktikan bahawa Daim menerima lebih kurang 600 milion Ringgit daripada tiga tokoh korporat sewaktu dia menjadi Menteri Kewangan. Mengapakah tiada sebarang siasatan dan dakwaan ke atasnya?

Realmild, yang sepatutnya mempunyai kuasa ke atas MRCB adalah pemegang amanah UMNO. Bagaimana ianya boleh menjadi hakmilik Kadir Jasin semata-mata, editor kepada kumpulan suratkhabar NST yang terkenal sebagai seorang pembodek dan akur kepada Mahathir dan sekaligus patuh kepada tuannya, Daim?

Berbeza daripada pemimpin-pemimpin yang saya boleh buktikan telah terlibat dengan amalan-amalan korupsi, saya berjuang untuk menegakkan kebenaran walaupun ianya bermakna kehilangan kebebasan peribadi. Golongan nasionalis yang tidak sejati tersebut akan lari bertempiaran apabila kuasa mereka tergugat. Lagipun, mereka memiliki kekayaan yang banyak disembunyikan di luar negeri.

Memang benar, mereka mempunyai kuasa, media dan wang, dan mereka tidak jijik dengan penipuan dan konspirasi-konspirasi kotor. Tetapi saya merayu kepada rakyat Malaysia yang taat setia, iaitu mereka yang sanggup menggadai nyawa demi negara yang tercinta, untuk mencari sendiri siapa yang sebenarnya alat dan agen kuasa-kuasa asing.

Cukuplah dengan fitnah dan tipu helah.

Anwar Ibrahim
16 Jun 1999