Ramalan pakar terhadap ekonomi negara tahun ini

TIADA HARAPAN PULIH

Oleh HJ. AZLAN AHMAD

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara tiada harapan pulih seperti sedia kala tahun ini jika dikaji betul-betul angka laporan ekonomi terbitan Kementerian Kewangan, Kata Profesor Madya Zakaria Man, pensyarah ekonomi Universiti Islam Antarabangsa.

Katanya, ini berdasarkan perbandingan antara pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negatif (-1.6) peratus untuk suku pertama tahun ini (yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dr. Mahathir baru-baru ini) serta berdasarkan jangkaan kerajaan terhadap pencapaian KDNK 1.0 peratus untuk sepanjang tahun ini.

Menurut laporan ekonomi 1998/99 tersebut, sewaktu negara tidak menghadapi kegawatan pada 1997, KDNK negara telah mencapai pertumbuhan 7.7 peratus atau pengeluaran negara berjumlah RM140.7 bilion, iaitu satu peningkatan dari RM130.6 bilion pada tahun 1996.

Bagaimanapun, kata beliau, negara diheret ke dalam krisis ekonominya yang paling teruk sejak 13 tahun pada 1988 di mana KDNK mencatat pertumbuhan (-4.8) peratus, yakni pengeluaran negara hanya sebanyak RM133.9 bilion, iaitu satu penurunan RM6.8 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Sebaliknya, terang beliau, jika kerajaan menjangka pencapaian KDNK mencatat 1.0 peratus untuk tahun ini berbanding tahun lalu, bermakna negara hanya berupaya mencapai pengeluaran kira-kira RM135.0 bilion sahaja, yang mana jauh lebih rendah dari keadaan selesa pada 1997 di mana KDNKnya ialah RM140.7 bilion.

"Bagaimana ekonomi negara hendak benar-benar pulih sekiranya kita tidak mampu mencapai keadaan yang lebih selesa seperti pencapaian KDNK tahun 1997?" soal beliau.

Kenyataan kerajaan main tipu helah

Bagi beliau, kenyataan Kerajaan banyak bermain-main tipu helah dalam menekankan pada angka-angka yang mengelirukan yang tidak merujuk kepada perangkaan sebenar seperti yang terdapat di dalam laporan ekonomi negara 1998/99 yang dikeluarkan oleh kementeriannya sendiri.

Seperkara lagi, katanya, usaha untuk mengelirukan ialah membuat perbandingkan pencapaian KDNK suku tahun pertama ini dengan waktu kegawatan tahun 1998.

"Ini tidak wajar kerana keadaan ekonomi pada tahun 1998 begitu teruk sekali, kita tidak boleh buat perbandingan pencapaian ekonomi dengan tahun tersebut, sebaliknya kita perlu membuat perbandingan pencapaian ekonomi dengan tahun yang tidak ada kegawatan, iaitu tahun 1997, barulah kita akan dapat gambaran yang sebenar tentang keadaan ekonomi negara sekarang. Itu baru satu cara penyampaian maklumat ekonomi yang tepat," tegasnya.

Tindakan mengelirukan seperti ini selalu dapat dilihat dari laporan-laporan akhbar harian yang selalu mengatakan prestasi ekonomi negara tahun ini sudah hampir pulih atau sudah pulih kerana dibandingkan dengan tahun kegawatan yang teruk 1998.

"Padahal kemelesetan ekonomi negara sebenarnya jauh dari pemulihan seperti keadaan `economic wellbeing' (kesejahteraan ekonomi) pada tahun-tahun sebelum 1998 dahulu," katanya.

Bagi mencapai pemulihan sebenar pada tahun ini, katanya, pencapaian KDNK mestilah pada anggaran 5.8 peratus untuk suku tahun pertama tahun ini, bukanlah negatif 1.6 peratus pada masa yang sama, ataupun bukan pada 1.0 peratus sepertimana yang dijangkakan oleh kerajaan untuk tahun ini, jelasnya sambil menambah ini kerana untuk hendak 'neutralize' (mengimbang semula) keadaan pertumbuhan negatif pada tahun lalu.

Menurut beliau, kalau benar-benar ekonomi negara sudah pulih dan selesa, KDNK negara mestilah mencapai tahap KDNK tahun 1997 atau lebih baik dari itu.

"Kesejahteraan ekonomi negara masih membimbangkan, negara masih belum keluar dari masalah kegawatan sekarang. Pihak kerajaan dan ahli-ahli propaganda mereka masih tidak memberi satu gambaran yang tepat tentang kedudukan ekonomi negara. Ini yang menjadi isu sekarang," tegas beliau.

Pada tahun ini kerajaan akan cuba sedaya upaya untuk melambatkan pengumuman angka-angka sebenar kedudukan ekonomi negara untuk dikaji dan diteliti betul-betul oleh ahli-ahli ekonomi negara yang lebih kritikal bagi mendapatkan gambaran sebenar prestasi ekonomi negara, kata pensyarah tersebut.

Ihsan:Harakah