PAS Akan Terus Dampingi Rakyat
18 June, 1999 – PAS akan terus mendekati rakyat dengan mengadakan sessi ceramah dan aktiviti ilmu, sebagaimana yang dilakukan sekarang. Ini adalah kerana PAS ikhlas berjuang menyebarkan dakwah kepada masyarakat dan ia bukan sekadar agenda menjelang pilihanraya sahaja.
Biar pun cara ini dihina oleh pihak yang tidak senang dengan perkembangan PAS, namun PAS tidak akan mengalah. Malah sambutan siri ceramah yang diadakan sepanjang tahun ini jauh berbeda dengan musim-musim lalu. Kadangkala sambutan itu menjangkau angka ratusan ribu jumlahnya dan telah banyak kali juga PAS berjaya mengadakan ceramah di mana tempat tersebut dahulunya merupakan kubu kuat UMNO.
PAS akan terus menerangkan kepada rakyat betapa kewajipan seorang Islam tidak boleh bersekongkol dengan pemerintahan thagut dan menjalankan kezaliman. Perkara ini ditegaskan oleh Dr. Hatta Ramli semasa menyampaikan ceramahnya di Taman Desa Perpaduan, Ulu Kinta, Perak, semalam.~MR