Kerajaan Rakyat: Dari Rakyat, Untuk Rakyat

Mengimbau suara hati rakyat biasa yang seringkali terpinggir dalam arus pembangunan negara, mengingatkan kembali tugas sebenar dan mengapa jihad ini diperlukan sejak beberapa bulan lalu, setelah berada di alaf siber.

Melalui ruangan sekerdil ini, Minda Rakyat akan cuba memaparkan fakta sebenar berdasarkan maklumat yang dipungut dari kocek ilmu rakyat yang dhaif, serta beberapa pandangan pihak tertentu, yang akan digembelengkan bagi menyatakan satu perasaan yang semacam membungkam terhadap ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat sekeliling.

Dalam siri-siri yang lalu Minda Rakyat cuba mengenengahkan isu rakyat, samada penyelewengan harta negeri, komplot merizabkan hakmilik tanah kerajaan kepada PKNP (sehingga digelar Perampas Kekayaan Negeri Perak), pengabaian projek rakyat dan penganugerahan projek mega kepada kroni seperti MRCB (Mahathir Ramli Cekau Berbilion), komplot memecah undi pembangkang melalui Rancangan Penempatan Lembah Beriah, dan lain-lain.

Seterusnya kali ini, Minda Rakyat akan membawa satu paparan yang agak menarik di mana Kerajaan UMNO sering melaung-laungkan perjuangan mereka semata-mata untuk kepentingan ugama, bangsa dan tanah air. Namun hakikatnya, mereka melupakan tanggungjawab sebenar sehingga membenarkan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan di atas kealpaan pihak kerajaan, untuk meraih keuntungan dengan menggadai ugama dan hak rakyat.

InsyaAllah dengan bantuan anda para netters yang sudi untuk memberikan maklumat, Minda Rakyat tidak akan kekeringan idea untuk bersama berkongsi pendapat serta luahan, terhadap kebiadapan pihak tertentu yang berada di bawah pemerintahan zalim Kerajaan BN, mengaut keuntungan dari air mata dan penderitaan orang lain.

Siapakah yang mahu membela nasib mereka yang tertindas? Hendak diharapkan Kerajaan, pemimpinnya asyik bercakaran mempertahankan kuasa. Mandat yang diberikan oleh rakyat pula diselewengkan. Namun di sebalik itu, Minda Rakyat bukan mahu jadi jagoan. Hanya sekadar terdaya bagi menyatakan simpati dan menjadi jambatan penghubung laluan kepada mereka yang tertindas dan dizalimi agar dapat meluahkan segala yang terbuku di hati.

Akhirnya, marilah kita sandarkan segala usaha dan ikhtiar semoga diperkenankan Allah jua!

HAPUSKAN PENYELEWENGAN, TEGAKKAN KEADILAN

Polong cyber