Dasar Perjuangan PAS Tidak Pernah Berubah
22 June, 1999 - PAS tidak pernah mengubah pendirian dan dasar yang diperjuangkan sejak ditubuhkan dalam tahun 1951, kata YB Mat Sabu. PAS juga berpendirian untuk mendapatkan kuasa politik bagi melaksanakan cita-cita menubuhkan negara Islam, melalui demokrasi dan proses pilihanraya.
Walaupun agak mustahil menumbangkan sebuah kerajaan secara demikan dalam negara dunia ketiga, namun PAS tetap berpegang kepada pendirian itu, tegas YB Mat Sabu. Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mengakui bahawa PAS sangat memerlukan 'kuasa politik' bagi memerintah negara dan mengubah perlembagaannya sesuai dengan kehendak Islam.
Umat Islam jangan memandang remeh terhadap kuasa politik, katanya. Kuasa politik sangat diperlukan bagi menjamin kemenangan PAS dan menjatuhkan Kerajaan BN dalam pilihanraya akan datang.
Sementara itu dalam komennya mengenai perpindahan ahli UMNO ke parti pembangkang, ianya menjadi bukti Kerajaan BN sekarang sudah menyeleweng dari landasan perjuangan mereka, katanya.
Pemimpin dahulu seperti Tengku Abdul Rahman dan Tun Razak berjuang menuntut kemerdekaan dan memperjuangkan nasib bumiputera di negara sendiri. Sebaliknya pemimpin sekarang sudah bertukar corak dan melupakan perjuangan asal.
Pemimpin dahulu melancarkan biasiswa kepada para pelajarnya, dan juga program yang membantu menaikkan ekonomi bumiputera. Kerana itulah ada UDA, FELCRA dan Felda, katanya.
Perkhidmatan perubatan pula disediakan secara percuma dan segenap lapisan masyarakat menikmatinya. Bank Pertanian dan Bank Pembangunan ditubuhkan untuk membantu golongan bumiputera yang berminat berniaga mengembangkan perniagaan mereka.
Kerana itu pada suatu masa PAS sendiri kehilangan modal dan terpaksa bergabung dalam UMNO kerana mereka berjuang untuk kepentingan rakyat. Namun selepas 42 tahun memerintah dan dengan kehadiran Dr. Mahathir selaku presiden UMNO, perjuangan itu bertukar sedikit demi sedikit dan akhirnya rakyat terabai.
Program penswastaan yang diperkenalkan pula, lebih banyak menguntungkan 'taukeh' daripada rakyat yang kian dibebani. Kerana kezaliman yang diperkenalkan oleh UMNO, ahli parti itu keluar beramai-ramai menyertai pembangkang.~MR