SMARI Dalam Kenangan

Telah ditubuhkan dalam tahun 1990, SMARI atau Sekolah Menengah Agama Rakyat Ipoh, beroperasi di Jelapang, Perak. Pendaftaran sekolah agama rakyat ini diluluskan di bawah Jabatan Agama Islam Perak dengan nombor pendaftaran JAPK/SUR/11/88, enam tahun sebelum Rang Undang-undang Kawalan Sekolah-Sekolah Agama 1996 diwartakan.

Penubuhan SMARI dibuat dalam menyahut cabaran yang semakin ketara dihadapi oleh masyarakat Islam dalam menghasilkan generasi yang memiliki kepribadian Islam tulen. Pihak masyarakat telah sedar bahawa pembentukan generasi keperibadian Islam ini hanya mampu dilahirkan melalui sistem pendidikan yang seimbang, harmonis dari segi tuntutan rohaniah, akhliah dan jasmaniah. Maka lahirlah SMARI yang berada di bawah naungan YAB Menteri Besar Negeri Perak Tan Sri Dato Seri Dr. Ramli sendiri.

SMARI ditubuhkan bermatlamatkan:

  1. Menjalankan sistem pengajian (pendidikan) yang berteraskan "Sistem Pondok" bagi membimbing secara mendalam generasi muda untuk melahirkan Ilmuan di bidang agama yang memiliki ulum akedemik yang lengkap, sebagai pelapis kepada ulama yang ada sekarang.
  2. Menyediakan saluran untuk mereka (generasi muda) menyambung pengajian agama ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang agama Islam dan Bahasa Arab.
  3. Melaksanakan Perintah Allah sebagai satu tanggungjawab fardhu kifayah di kalangan masyarakat Islam.

Selari dengan matlamat itu, masyarakat Islam sedar peranan mereka dalam membentuk kesinambungan generasi Islam tulen dan kesungguhan itu ditunjukkan dengan menghantar anak-anak mereka mendalami ilmu Islam di sekolah ini.

SMARI menawarkan mata pelajaran bahasa arab komunikasi, bahasa arab tinggi, pendidikan Islam, Tasawwur Islam, Al_Quran Sunnah, Syariah Islamiah, Bahasa Melayu, bahasa Inggeris, sejarah, geografi, sains, metamatik, ekonomi asas dan kemahiran hidup.

Skop pelajaran itu juga meliputi pelajaran I'dadi dan pelajaran Thanawi dengan mata pelajaran fekah, tauhid, hadith, tafsir, sirah, nahu, mutolaah, imlak & khat, tajwid, sorof nahu, nusus, tauhid dan mantik.

Melihatkan falsafah yang didokong oleh SMARI, maka tidak hairanlah sekolah menengah agama ini menerima sambutan masyarakat Islam di Lembah Kinta khususnya, dan juga dari pelosok lain negara ini.

Sehubungan dengan Rang Undang-undang Kawalan Sekolah-sekolah Agama Islam yang dikuatkuasakan pada tahun 1996, maka SMARI membuat pendaftaran ulangan melalui JAPk/SMARII/39/97 atas nama Ma'ahad Al-Imam Asy-Syafiee (MAIS).

Pentadbiran MAIS terbahagi dua iaitu Majlis Ma'ahad (yang mengandungi ahli majlis MAIS) dan dan Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran MAIS. Ahli-ahli Jemaah MAIS ini terdiri daripada pengerusi (Tuan Hj. Mohd Yusof bin Ariffin), timbalan pengerusi (Tuan Hj. Abdul Rahman bin Dahalan), setiausaha (Hj. Ibrahim Mahmud), penolong setiausaha (Hj. Ismail Kari), bendahari (Hj. Umar Ridzuan b. Mohd Ali) serta 5 orang ahli (Dato' Hj. Hairi Osman b. Husin, Hj. Zabidin b. Ibrahim, Hj. Sulaiman Hj. Hashim, Hajjah Nafisah Ariffin dan Hj. Muhammad bin Sulaiman.

Manakala MAIS kini di bawah pentadbiran pengetuanya Tuan Hj. Ibrahim bin Mahmud, beberapa orang kakitangan pentadbiran dan bilangan guru agama yang mengajar di MAIS kini berjumlah kurang 20 orang.

MAIS pada masa ini mempunyai kira-kira 350 orang pelajar lelaki dan perempuan. Sejumlah 130 orang menikmati kemudahan asrama penuh yang dikenakan bayaran bulanan berjumlah RM167. Manakala pendaftaran penuh pelajar berasrama ialah RM322 dan pelajar luar asrama RM177.

Kegemilangan MAIS kini berada dalam gawangan yang tidak menentu apabila pengetua dan pihak pengurusan bertelagah sesama guru dan ibubapa. Penglibatan murid-murid tidak dapat dielakkan menyebabkan masalah kecil menjadi lebih besar akibat kegagalan pentadbiran MAIS menjalankan pengurusan yang cekap dan sistematik.

Antara masalah yang timbul ialah pengurusan makan dan minum di asrama yang tidak sempurna dan tidak diselia dengan baik, percampuran lelaki dan perempuan dalam satu bangunan asrama hingga melahirkan beberapa kejadian yang tidak manis, ketiadaan Pusat Sumber, sistem gaji yang tidak selaras kepada guru-guru serta ketiadaan caruman KWSP dibuat sebagai potongan yang diwajibkan.

MAIS tidak menawarkan sistem gaji yang tertentu, sebaliknya mengikut pertimbangan Ahli Majlis MAIS sendiri. Pada kebiasaannya gaji seorang guru agama (berdiploma, berijazah atau apa sahaja) ditawarkan pada kadar RM500 sebulan. Gaji yang ditawarkan adalah tetap dan tidak pernah berubah. Pihak guru tidak dibenarkan membuat bantahan atau campurtangan dalam pengurusan MAIS.

Begitu pula dengan pengurusan anak murid juga tidak diselaraskan dengan sempurna. Waktu pembelajaran dibuat sambil lewa hingga murid gagal membentuk cita-cita untuk ke peringkat yang lebih tinggi.

Sistem percampuran dalam satu bangunan menyebabkan masalah timbul antara pelajar lelaki dan perempuan. Pernah terjadi insiden murid lelaki ditangkap di mana kawasan tersebut merupakan kawasan larangan kepada mereka.

Ketiadaan PIBG menambahkan kekeruhan kerana gagal bertindak sebagai medan perbincangan masalah yang timbul antara ibubapa dan guru. Pihak pentadbiran MAIS seolah tidak mahu tahu dan tidak boleh ditegur oleh sesiapa, samada guru atau ibubapa murid.

Akhirnya matlamat melahirkan generasi yang berpendidikan Islam sudah menyimpang dari landasan sebenar, atas kegagalan semua pihak samada pentadbiran MAIS atau pihak yang lebih tinggi. Masalah yang melanda menyebabkan ibubapa mulai tawar hati menghantar anak mereka ke MAIS. Sistem penggajian yang tidak menentu pula menyebabkan para guru berfikir dua kali untuk terus berkhidmat di sini.

Siapakah yang sebenarnya dapat memberikan penyelesaian kepada permasalahan ini? Adakah hanya dengan menubuhkan rang undang-undang bermakna sudah selesai tugas Kerajaan dalam menyelaraskan sistem sekolah agama rakyat di negara ini. Kenyataan umum oleh Menteri Pendidikan, Dato' Najib Razak pada 20 Jun 1999 belum lagi membuka ruang penyelesaian kerana ia dilihat sebagai 'cakap politik' menjelang pilihanraya.

Biar apa pun, setelah 42 tahun memerintah negara ini, keujudan sekolah agama yang tidak seimbang dengan sekolah berpelajaran sekular sesungguhnya menjadi bukti bahawa Kerajaan tidak ikhlas memperjuangkan agama dan nasib umat Melayu berugama Islam. Pengambilalihan sekolah agama seperti yang disarankan oleh Dato Najib pula, melahirkan kebimbangan di kalangan umat Islam bahawa jaminan sistem pendidikan Islam tulen akan dicemari oleh dasar sekular yang lebih menguasai sistem pendidikan di negara ini.~MR