UMNO Hanyalah Satu Parti!
26 June, 1999 - UMNO bukanlah kerajaan dan sebaliknya kerajaan itu bukanlah UMNO. Malah UMNO adalah sebuat parti politik yang sama macam PAS, DAP atau PKN, kini menuju zaman tua dan layak untuk jadi sejarah. Manakala kerajaan adalah rakyat yang berkuasa memilih sebarang parti untuk memerintah dan memimpin negara mengikut kemahuan mereka.
Propaganda UMNO itu kerajaan dan kerajaan itu UMNO sudah bertunjang teguh dalam tradisi dan budaya Melayu dan ia perlu dikikis dari pemikiran mereka dan rakyat negara ini amnya. Bukti UMNO akan jadi sejarah ialah bilamana rakyat bersama-sama bangun bangkit menentukan kerajaan melalui pembentukan parti dalam barisan Alternatif, kata saudara Hamdan Taha, bekas Ketua Penerangan Pemuda UMNO Perak.
"PKN hanya berusia 76 hari sudah boleh mengumpul sebegini ramai, iaitu kira-kira 45,000 orang. UMNO yang sudah berusia 53 tahun kini takkan mampu kumpul seramai ini pun," katanya.
"Dalam persidangan UMNO ke 53 lalu, Presiden UMNO memfitnah DSAI," nadanya kesal.
Persidangan agung UMNO yang sebelumnya sering merancang sesuatau yang berfaedah untuk parti dan rakyat, tetapi persidangan UMNO kali ini ucapan dasar presiden hanya untuk memfitnah DSAI dan pembangkang. Perjuangan itu sudah lari jauh, katanya lagi.
Justeru itu UMNO kini adalah parti yang sudah tidak relevan buat orang UMNO dan rakyat negara ini. Ini jelas apabila dalam tahun 1988 UMNO diharamkan. Dalam perancangan UMNO (baru) UMNO hanya dikuasai oleh golongan korporat, manakala pegawai kerajaan kumpulan A tidak boleh menyertai politik (UMNO).
"Akhirnya UMNO jadi rosak dan alat untuk mencapai kekayaan", tegas saudara Hamdan Taha. Beliau seterusnya menyatakan bahawa beliau meneliti perkembangan politik negera sehingga 8 bulan selepas DSAI dipecat, jika ada keadilan dan pertimbangan yang lebih baik dari kezaliman.
Apabila mendapati bahawa kezaliman itu tidak akan berubah, maka beliau menerima rayuan isteri dan anak-anak untuk berjuang bersama PKN yang kini adalah pembangkang dan bakal menubuhkan kerajaan yang dipimpin rakyat.
Beliau menyifatkan Zahid Hamidi sebagai 'termakan' dakyah UMNO dan pujukan bahawa lupakan soal perjuangan rakyat dan perjuangan ugama. Kini perjuangan itu tiada lagi dalam UMNO, kerana itulah beliau menolak UMNO dan menyertai PKN.~MR