Amalan Kronisme Terus Berleluasa Dalam Pentadbiran Kerajaan

29 June, 1999 – Amalan kronisme dikesan terus menjadi amalan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Perak. Selain daripada pemberian konsesi balak dan tanah, perlantikan kakitangan sambilan juga tidak terkecuali dari amalan kronisme jabatan-jabatan Kerajaan.

Mengikut peraturan yang sedia ada, sesebuah Jabatan Kerajaan dibenarkan mengambil kakitangan sambilan di peringkat bawahan termasuk buruh. Antara jawatan lain yang ditawarkan ialah kerani sambilan, PAR sambilan, Operator Komputer Sambilan dan berbagai tugas di peringkat bawahan.

Walau bagaimanapun tidak semua Jabatan mematuhi peraturan yang disediakan oleh pihak SPA iaitu bagi jawatan dalam kumpulan C, mesti ditemuduga pengambilannya oleh pihak SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) Negeri Perak. Ada jabatan kerajaan yang dikesan mengambil kakitangan sambilan mengikut sesuka hati, tanpa menghiraukan peraturan yang sedia ada. Umpamanya di Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Tanah Kinta.

Biar pun menerima kritikan pihak masyarakat, di mana jaminan hak semua rakyat yang berkelayakan sewajarnya dipertimbangkan, namun perkara ini tidak menjadi satu isu yang penting. Sikap pemimpinan kerajaan negeri ini dilihat seolah-olah merestui kegiatan ini, menyebabkan pengambilan pekerja sambilan terus belaku di kalangan kroni sahaja.

Masyarakat seharusnya mengambil iktibar dalam perkara ini, bahawa dalam pentadbiran Kerajaan BN tidak ada jaminan keadilan kepada semua rakyat.~MR