Nik Aziz bidas ulasan Mustapa

29 June, 1999 - Mursyid Am Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kelmarin menyelar kenyataan anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mustapa Mohamed, yang mendakwa perjuangan PAS mirip golongan Syiah dan Khawarij.

Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai satu gimik politik, dan berkata Datuk Mustapa tidak layak membuat sebarang ulasan mengenai perkara itu.

"Tak payahlah, itu bukan kerja dia. Bukan taraf dia ulas berkenaan fahaman Syiah dan Khawarij," kata beliau kepada para pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-25 Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia cawangan Kelantan kelmarin.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Datuk Mustapa pada Sabtu lalu, yang mendakwa bahawa pemimpin dan penyokong PAS mempunyai ciri-ciri kaum Syiah dan Khawarij, yang cuba memecah-belahkan perpaduan di antara umat Islam di Malaysia. Datuk Mustapa semasa merasmikan seminar 'Khawarij, Syiah dan PAS -- Perbezaan dan persamaan' anjuran Biro Penerangan Umno Kelantan berkata penyokong PAS terlalu fanatik.

Mereka menganggap pemimpin PAS sebagai maksum, yakni tidak pernah melakukan kesilapan, satu sifat yang ada pada kaum Syiah dan Khawarij. -- Bernama.