Tak Perlu Naik Cukai Untuk Beri Pelajaran Percuma
2 Julai, 1999 - Kerajaan tidak perlu menaikkan kadar pelbagai jenis cukai untuk melaksanakan pemberian pendidikan dan perubatan percuma kepada rakyat. Bukti ini cukup jelas dalam tahun 1960'an dan 70'an di mana rakyat menikmati faedah pendidikan percuma di peringkat tinggi, kata pemerhati politik tempatan.
Para pelajar yang cemerlang di zaman itu, menikmati tajaan biasiswa dan pelbagai insentif untuk melanjutkan pelajaran, samada dalam dan luar negeri. Malahan sebelum keputusan peperiksaan diumumkan, pelajar yang dikesan cemerlang dalam rekod peperiksaannya sudah dihantar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Begitu pula dengan kemudahan perubatan yang dinikmati. Perkhidmatan perubatan disediakan terus ke kampong-kampong dan pegawai perubatan dan doktor disediakan untuk kemudahan rakyat.
Anihnya, semenjak tahun 80'an di mana negara sedang bergerak maju, pendidikan dan perubatan ditarikbalik dan segalanya perlu dibayar. Kalangan pemerhati politik tempatan berpendapat, sekiranya kerajaan menggunakan input yang ada secekapnya, maka pendidikan dan perubatan percuma boleh dinimati terus oleh rakyat.
Hanya di bawah dasar penswastaan yang dilaksanakan oleh Mahathir, kebajikan rakyat terabai hinggakan pendidikan dan perubatan dijadikan bahan perniagaan oleh tokoh korporat dan ahli perniagaan.
Perlaksanaan penswastaan itu jelas memihak kepada golongan peniaga dan menzalimi rakyat. Wang rakyat dikikis untuk diberikan kepada golongan peniaga dengan menggadaikan keperluan kebajikan mereka.
Rakyat jangan mudah percaya dengan kenyataan, bahawa tiada satu pun negara didunia melaksanakan dasar pendidikan percuma. Dengan faktor pengeluaran yang diolah sebaiknya, dasar itu munasabah dicapai tetapi kepentingan pihak tertentu terpaksa dikorbankan.
Inilah antara kezaliman yang berlaku sepanjang pemerintahan Kerajaan BN pimpinan Mahathir. Rakyat perlu menolak kezaliman ini untuk membebaskan diri mereka dari siksaan yang berpanjangan.~MR