Tuduhan Media, Meliar, Melulu

Tuduhan oleh media yang dikuasai kerajaan didapati sungguh liar, provokasi dan melulu, terutama ke atas PAS, sejak akhir-akhir ini, kata aktivis PAS Hj. Ahmad Daniel. Ini adalah kerana PAS sudah menerima sokongan rakyat Melayu yang dulunya membenci PAS.

Sokongan itu berbentuk samada dalam pertambahan bilangan keahlian atau sokongan yang diberikan secara komitmen, juga oleh parti lain dalam barisan alternatif.

Seterusnya beliau menambah, jika pilihanraya ini menyaksikan BN bertanding secara satu lawan satu dengan mana-mana parti alternatif, rakyat sudah sedia untuk memilih samada PAS, PKN, DAP atau PRM. Hasilnya nanti BN akan kalah dan berkubur, katanya lagi.

Beliau juga percaya bahawa UMNO dan BN tidak akan mampu menang sekali pun di negeri Perak ini, jika pilihanraya berjalan secara teratur, lancar dan bersih. Akan wujud elemen 'terkotor' hasil idea Dr. Mahathir, untuk mereka memenangi pilihanraya kali ini, katanya.

Antara idea ini sudah dijalankan oleh medianya secara giat, memburuk-burukkan PAS dan memprovokasi PAS bahawa parti itu rosak kerana pengikutnya 'ganas', katanya sambil merujuk peristiwa di Terengganu beberapa hari lalu.

Dalam kejadian itu, media mendakwa seorang AJK UMNO dipukul oleh pengikut parti pembangkang (dikatakan PAS) kerana tidak bersetuju diadakan ceramah di taman perumahan mereka.

"Inilah peranan media menjelang pilihanraya", kata Hj. Daniel. "Akhirnya PAS akan diharamkan kerana merupakan parti yang menganjurkan keganasan. Ini semua provokasi dan propaganda UMNO. Kita sudah kalah sembilan kali sebelum ini, tapi kita tak mengganas pun?", soalnya lagi murujuk kekalahan PAS dalam siri pilihanraya negara ini.~MR