Pemecatan Anwar Satu Peristiwa Penting
6 July, 1999 - Semasa memberikan ucapan penerangan kepada Kaum Tionghua di Dewan Onn, Jalan Hussein, Ipoh, malam tadi, Dr. Chandra Muzaffar berkata bahawa pemecatan DSAI adalah satu peristiwa penting dalam sejarah negara ini disebabkan ianya menjadi pencetus kepada gelombang kebangkitan rakyat.
Gelombang itu meniupkan suara perobahan yang sangat ditakuti oleh PM Mahathir Mohamad, kerana akan memendekkan kuasanya yang sediada, kata Dr. Chandra Muzaffar selaku Naib Presiden Parti KeADILan Nasional.
"Ketidakadilan sudah lama berlaku dalam negara kita," kata Dr. Chandra. "Tetapi peristiwa Anwar amat penting dan kita tidak akan lupa".
Walau pun PKN bukan berjuang semata-mata untuk membebaskan DSAI, namun hakikat membela DSAI itu tidak dinafikan. PKN akan terus berjuang supaya unsur ketidakadilan yang berlaku itu dihapuskan, katanya.
Antara peristiwa lain yang boleh dikaitkan dengan ketidakadilan sistem perundangan negara ialah soal pemenjaraan Lim Guan Eng, yang membela bagaimana mangsa rogol dianiayai sedangkan sipesalah masih terus bebas.
Selain dari itu soal pemecatan Tun Salleh Abas sebagai bekas Ketua Hakim Negara dalam kes pengharaman UMNO dalam tahun 1988 juga sebagai bukti ketidakadilan sistem perundangan.
Dr. Chandra berucap demikian dihadapan kira-kira 3,000 masyarakat berbilang kaum, dengan majoriti terdiri dari masyarakat Tionghua, warga Lembah Kinta.~MR