Kenyataan Media
Parti Keadilan Nasional (keADILan)
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Parti Rakyat Malaysia (PRM)
TIDAK MENYERTAI MAPEN II
Majlis yang terdiri daripada para pemimpin keADILan, PAS, DAP dan PRM, dalam pertemuannya pada 1hb Julai 1999 telah bersetuju tidak akan menyertai MAPEN II (Majlis Perundingan Ekonomi Kedua) anjuran pemerintah. Sehingga hari ini keADILan belum lagi menerima jemputan untuk menyertainya, walaupupun tiga parti yang lain telah menerimanya.
Kami berpendapat bahawa MAPEN II ini semata-mata satu helah politik pilihan raya untuk membuktikan kononnya pihak pemerintah BN bersikap terbuka dan bersedia berbincang dengan parti-parti alternatif tentang masa depan ekonomi negara. Pada hal selama ini tidak pernah pucuk pimpinan BN mahu menerima pandangan apatah lagi teguran daripada pihak parti-parti alternatif. Misalnya, kami tidak pernah dijemput menyertai ataupun menyumbang pendapat kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Pengalaman PAS, DAP dan PRM dalam MAPEN I, yang telah mereka sertai beberapa tahun dulu, sangat mengecewakan. Pihak pimpinan pemerintah tidak memperlihatkan sikap yang ikhlas atau serius. Begitu banyak masa, tenaga dan wang telah dibuang untuk mesyuarat dan lain-lain, akan tetapi akhirnya pihak pemerintah telah menolak dengan mudah saja laporan serta perakuan MAPEN I. Bahkan pemerintah tidak memberi penghargaan kepada badan tersebut apabila ia tidak menimbang sama sekali hasil usaha berbulan-bulan oleh anggota-anggota MAPEN I.
Tidak lama selepas MAPEN I, pemerintah telah membentuk pula Majlis Perundingan Pendidikan Negara (MPPN). Parti-parti pembangkang ketika itu tidak menyertainya berikutan pengalaman buruk mereka dalam MAPEN I. Kita saksikan bahawa selepas Datuk Sulaiman Daud mengambil alih jawatan Menteri Pendidikan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak ada mensyuarat diadakan dan sehingga hari ini MPPN tidak mengeluarkan apa-apa laporan pun.
Pihak pemerintah hendaklah ikhlas dan serius apabila mengundang wakil parti-parti alternatif dan pertubuhan-pertubuhan lain menyertai sebarang usaha untuk kebaikan negara dan rakyat. Janganlah hendaknya cuba berpura-pura dan melakukan sesuatu hanya untuk kepentingan politik pilihanraya saja.
Ditandatangani oleh:
YB Dato’ Ustaz Fadzil Noor |
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismai Presiden keADILan |
Dr. Syed Husin Ali Presiden PRM |
YB Lim Kit Siang Setiausaha Agung DAP |
4th July 1999