Sokongan Rakyat, Takutkan Kerajaan
12 July, 1999 - Sokongan rakyat terhadap gerakan reformasi negara, merupakan satu ketakutan kepada Kerajaan UMNO pimpinan Mahathir. Kini gerakan reformasi bukan lagi perjuangan jalanan oleh penuntut universiti. Malahan rakyat dari segenap bangsa dan keturunan sudah menyatakan komitmen mereka menyokong reformasi.
Antara bukti sokongan itu ialah apabila rakyat sedia hadir mendengar dan menerima penjelasan yang dibuat oleh pemimpin alternatif melalui siri ceramah mereka. Manakala majlis UMNO seringkali tidak cukup bilangan dan kekurangan.
Tuduhan yang mengatakan bahawa reformasi adalah pemecahbelah masyarakat juga sudah ditolak rakyat. Kini UMNO adalah parti yang sentiasa menganjurkan perpecahan dan sentiasa pula berada diambang keretakan. Sikap pemimpin UMNO yang berebut kuasa dan saling jatuh menjatuh antara satu sama lain, adalah bukti bahawa parti itu sentiasa bermusuh sesama ahli. Ini bukan sahaja berlaku diperingkat Majlis Tertinggi UMNO, malahan di peringkat negeri, bahagian dan juga cawangan.
Perkara ini disentuh oleh bekas senator dan juga Ahli Dewan Negara, Hamzah Mohd Zain, malam tadi, semasa berucap di hadapan kira-kira 3,000 orang di Kampong Bahagia, Sg. Siput (U).~MR