Turunkan Harga Barang, Tol
14 July, 1999 - Kerajaan didesak menurunkan kadar tol dan harga barangan pengguna jika benar ekonomi negara sudah pulih. Desakan ini dibuat oleh rakyat kelas bawahan yang sudah jemu dengan momokan para pemimpin negara bahawa ekonomi negara sudah pulih.
Jika benar ekonomi sudah pulih, mengapa 'tanda-tanda pemulihan' itu tidak dibuktikan dengan menurunkan harga barangan pengguna yang mengalami kenaikan mendadak terutamanya harga ayam baru-baru ini.
Kenaikan harga ayam sebanyak 3 kali dalam seminggu, minggu lalu, disifatkan hanya berlaku dalam pemerintahan Perdana Menteri Mahathir Mohammad. Rakyat turut menyelar kepimpinan hari ini lebih senang mencanangkan agenda politik dan pembangunan, hingga melupakan kedhaifan rakyat terutama di luar bandar.
Kenaikan harga barang pengguna dan kenaikan kadar tol awal tahun ini merupakan bukti kukuh bahawa ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya. Pelaburan RM3.8 bilion yang dibawa masuk dari luar bukan melegakan ekonomi rakyat, sebaliknya menambahkan ketenatan ekonomi negara kerana dibebani hutang yang berpanjangan.~MR