Jangan Terlalu Mendesak Rakyat

14 Julai, 1999 - Kerajaan Negeri Perak tidak seharusnya menggunakan 'paksaan' atau unsur yang boleh disamakan dengan menekan atau mengugut dalam setiap program yang bukan urusan rasmi. Perkara ini jelas mendapat tentangan majoriti kakitangan kerajaan kerana mereka sering dijadikan mangsa agenda politik murahan pihak tertentu.

Umpamanya perjumpaan MB dengan kakitangan kerajaan minggu lalu. Agenda yang disebutkan merupakan taklimat pembangunan. Sebaliknya majlis yang berlangsung selama 2 jam itu hanya menyebar dakyah politik murahan Tan Sri Ramli Marcos. Menurut maklumat yang diterima, MB itu merayu-rayu kakitangan yang hadir supaya memilih BN dalam pilihanraya nanti supaya agenda pembangunan diteruskan.

Majlis yang diselubungi suasana membisu oleh semua kakitangan kerajaan samada yang masih menyokong UMNO atau yang sudah mufarakah dengan parti yang tidak relevan lagi itu. Majoriti kakitangan yang hadir menyifatkan kehadiran mereka adalah atas paksaan Ketua Jabatan yang menerima surat pekeliling pihak atasan.

Malam tadi berlangsungnya Majlis Forum Perdana di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Jalan Istana, Ipoh. Perkara yang sama berulang lagi apabila kakitangan Islam negeri ini menjadi 'buruh paksa' untuk hadir, tanpa dibayar elaun perbatuan atau sebarang elaun yang setimpal dengannya.

Mengikut maklumat terbaru yang diterima, surat pekeliling dikeluarkan mengarahkan supaya setiap Jabatan menghantar sekurang-kurangnya 10 orang kakitangan untuk hadir dalam majlis forum perdana tersebut. Beberapa Jabatan masih belum menghantar senarai wakilnya walaupun disaat akhir, membuktikan bahawa agenda Kerajaan Negeri ini keterlaluan hingga melupakan soal kebajikan pekerja dan hanya mementingkan agenda politik semata.

Perhimpunan MEGA yang dianjurkan oleh UMNO dan Kerajaan Negeri Perak yang dijadualkan berlangsung pada 2 Ogos nanti, merupakan agenda 'paksaan' yang kesekian kalinya berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri. Krisis sokongan UMNO kini menjadi wabak hingga melahirkan krisis sokongan rakyat secara besar-besaran. Jangan terlalu memaksa rakyat itu dan ini!!!~MR