Tiada Kemiskinan, Hanya Satu Pendustaan!!
15 Julai, 1999 – Kenyataan Tan Sri Ramli dalam fokus Utusan Malaysia semalam, bahawa negeri Perak bebas dari belenggu kemiskinan merupakan satu pendustaan maha besar ke atas rakyat negara ini. Bukti yang cukup jelas untuk diketengahkan bagi menafikan kenyataan tersebut ialah apa yang di alami oleh penduduk Kg. Seri Rahmat, Batu Gajah, yang terpaksa meminum air telaga dan kediaman mereka tanpa dihubungi oleh rangkaian jalan yang sempurna.
Begitu pula nasib setinggan yang melebihi 15,000 buah keluarga di negeri ini masih berada di bawah paras kemiskinan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjamin masa hadapan.
Sikap Kerajaan negeri yang acuh tak acuh terus membenamkan mereka dalam kesempitan kehidupan yang melarat, tanpa pembelaan. Keadaan yang amat ketara ini boleh dilihat dengan jelas juga di daerah Selama terutama kawasan Sg. Siputeh, Sg. Bayor dan Ulu Mengkuang. Begitu juga di Ijok, Selama, taraf kemiskinan rakyat amat dirasai kerana belum semua rakyat menikmati faedah air dalam besi dan api dalam kaca.
Laporan pembangunan daerah Larut Matang dan Selama setiap tahun membuktikan bahawa betapa peruntukan yang besar diperlukan untuk membangunkan kawasan-kawasan ini, yang seterusnya membuktikan bahawa Perak masih belum bebas dari taraf kemiskinan.
Jika berkesempatan Minda Rakyat akan membuktikan dengan gambar-gambar betapa antara rakyat ini yang masih merasai kesengsaraan, walaupun negara sudah merdeka selama 42 tahun lamanya.~MR