Kenyataan Media:
(16 Julai 1999/2 Rabiul Akhir 1420)
Saya amat kesal dan menyifatkan sikap Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Hishamuddin Tun Hussein yang cuba memutar belit isu debat adalah sikap seorang penakut dan pengecut. Oleh itu mereka tidak seharusnya memperkudakan media massa dengan cuba mengalihkan isu dan menetapkan agenda yang lain dengan menuduh saya menghina keluarga mereka. Isu sebenar yang sedang hangat diperkatakan sekarang adalah isu debat yang perlu dilihat sebagai kepentingan untuk faedah agama, bangsa dan negara.
Saya menyanjung tinggi ayahanda mereka Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tun Hussein Onn yang berjiwa bangsa tetapi sebaliknya Datuk Seri Najib dan Datuk Hishamuddin menjadi pengkhianat bangsa. Datuk Seri Najib mengorbankan masa depan pendidikan anak Melayu dengan mengkorporatkan IPTA dan memperkenalkan Akta Pendidikan 1995. Datuk Hishammuddin pula gagal tampil sebagai Pemuda Umno yang menjadi teras perjuangan bangsa dan menjadi pengkhianat bangsa yang akan saya buktikan sekiranya beliau sanggup berdebat dengan saya.
Tuduhan mengatakan saya menghina keluarga mereka amat-amat saya kesalkan. Sekali lagi saya ingin mempertegaskan bahawa debat ini perlu untuk kepentingan agama, bangsa dan negara. Sekiranya benar Datuk Seri Najib dan Datuk Hishammuddin menurut jejak langkah ayahanda mereka yang berjiwa bangsa, mereka sepatutnya bersedia untuk dilihat dan dinilai kualiti kepimpinan mereka oleh rakyat seperti mana yang dilakukan oleh ayahanda mereka.
BERSAMA MENEGAKKAN KEADILAN
PEMUDA MEMIMPIN PERUBAHAN
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
s.k Setiausaha Agung PAS
Media massa