PAS/DPP/1.03.01 (04)

16 Julai 1999 / 2 Rabiul Akhir 1420

Assalamualaikum wr, wbt.,

Kepada :

YB DATUK HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Pemangku Ketua
Pergerakan Pemuda Umno Malaysia

YB Datuk,

DEBAT TERBUKA PEMUDA PAS – PEMUDA UMNO

Merujuk perkara di atas, dengan segala hormatnya saya ingin mengulangi cabaran debat saya kepada YB Datuk untuk mengadakan debat terbuka tentang isu Melayu dan Pengkhianatan Bangsa.

Saya ingin membuat tawaran pilihan supaya debat ini dibuat secara langsung di NTV 7 atau mana-mana stesen televisyen tempatan dan tidak mengheret stesen televisyen asing yang boleh mengundang campur tangan pihak luar. Oleh itu saya menyerah kepada budi bicara YB Datuk untuk berurusan dengan NTV 7 kerana YB Datuk mempunyai hubungan yang baik dengan NTV 7.

Sekiranya pihak NTV 7 tidak bersedia untuk menganjurkan debat ini, saya cadangkan Pemuda Umno sendiri yang menjadi penganjur kepada debat ini dan diadakan di Ibu Pejabat Umno di dewan besar PWTC yang dibuka kepada orang ramai dan disiarkan secara langsung melalui televisyen ke seluruh negara.

YB Datuk dipersilakan untuk menetapkan sebarang tajuk debat atas sebarang isu dan memilih sendiri pengerusi debat dengan syarat ahli panel debat ialah YB Datuk dan saya. Saya memberi tempoh masa kepada YB Datuk untuk menyahut cabaran saya ini sehingga 31 Julai 1999 sekiranya benar YB Datuk bukan seorang yang pengecut dan penakut.

Diharapkan cabaran saya ini dapat diterima oleh YB Datuk dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap maruah dan kewibawaan Pergerakan Pemuda Umno yang YB Datuk terajui.

Sekian terima kasih.

"MEMIMPIN PERUBAHAN"

Yang benar,

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua
Dewan Pemuda Pas Pusat


s.k Setiausaha Agung PAS

Media massa