MBI Berat Sebelah!!

 

18 Julai, 1999 - Kebencian terhadap UMNO memang sudah tidak dapat dibendung lagi. Walaupun parti itu menerima kerjasama pihak berkuasa tempatan dalam mempamirkan poster atau papan kenyataan parti, namun manakan menahan kemarahan dan kebencian penduduk yang tidak mahu lagi bersekongkol dengan UMNO.

 

Jika parti alternatif memasang bendera dan poster, maka kerapkali ia dicabut dan dibuang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Sebaliknya pihak berkuasa tempatan pula membantu UMNO memasang bendera dan poster UMNO. Kerjasama ini boleh dilihat dalam kawasan Parlimen Tambun yang kini masih dibawah Ahli Parlimen BN Hj. Husni Hanadzlah.

 

Beberapa minggu lalu UMNO dengan kerjasama PBT iaitu Majlis Bandaraya Ipoh memasang di seluruh kawasan Parlimen Tambun papan kenyataan UMNO cawangannya. Minda Rakyat difahamkan bahawa pemasangan ini tidak memerlukan apa-apa kelulusan pun.

 

Sebaliknya, di pihak parti alternatif pemasangan poster memerlukan kelulusan MBI selaku PBT di  sebahagian kawasan Parlimen ini. Maka naiklah berpuluh-puluh papan kenyataan UMNO Cawangan masing-masing.

 

Kejadian merentap poster ceramah umum oleh pihak yang anti PAS beberapa hari lalu semasa menghadapi ceramah politik di Sg. Tapah, Ipoh pada 16 Julai 1999, berlaku di dalam kubu kuat UMNO suatu masa dulu, iaitu di bawah DUN Manjoi yang diketuai oleh YB Nadzri. Para penyokong PAS menahan kesabaran dengan tindakan yang boleh menjurus kepada pergaduhan itu. Adalah dipercayai ia dicabut oleh MBI sendiri.

 

Jadi tidak hairanlah jika papan kenyataan UMNO Cawangan Manjoi di cat semula dengan cat semburan yang berbunyi "SHIT". Papan yang dipasang tidak sampai satu minggu itu mungkin berpunca dari sifat membalas dendam. Namun ia mungkin satu provokasi oleh pihak tertentu untuk menimbulkan kekecohan.

 

Tindakan ini menjadi buah mulut penduduk kawasan Manjoi dan sebahagian penduduk bandaraya Ipoh sendiri. UMNO pula seharusnya bersabar, sebagaimana penyokong PAS mengalami kejadian seumpama itu sebelum ini. Jika benar perbuatan ini dilakukan oleh penyokong PAS, ia merupakan satu tindakan mempertahankan maruah, setelah MBI sendiri memihak kepada UMNO!. Sebenarnya di mana keadilan?~MR