Tiada Pihak Yang Mahu Selesaikan Masalah Harga Tanah

 

18 Julai, 1999 - Harga premium dan kos penambakan tanah bagi kawasan Lembah Kinta kini menjalani proses kenaikan harga tanpa kawalan. Walaubagaimana pun pihak Pejabat Tanah Kinta memaklumkan bahawa kadar premium tanah dan bayaran ukur tanah tidak mengalami kenaikan, sebagaimana didakwa.

 

Minggu lalu beberapa orang penduduk di sekitar Kg. Sri Kinta, Taman Temara dan Taman Sri Sayang, Ipoh, menyuarakan bantahan mereka berhubung kenaikan premium dan kos penambakan tanah. Dalam bantahan tersebut mereka mendakwa tanah bagi tapak rumah dalam Rancangan Perkampungan Tersusun Cempaka Sari II seluas 80' X 50', kini mengalami proses kenaikan harga daripada RM8,000 kepada RM12,000 dan kini menjadi RM18,000.

 

Wakil Minda Rakyat meninjau ke tapak projek dan mendapati bahawa dakwaan penduduk terbabit adalah benar. Selain daripada itu projek tersebut kini tergendala kerana 'kununnya' ramai bakal penduduk tidak mampu menjelaskan bayaran setinggi RM18,000.

 

Menurut pengamatan Minda Rakyat, harga RM18,00 bagi tapak rumah seluas yang tersebut merupakan tahap tertinggi dalam proses anugerah tanah oleh pihak Kerajaan Negeri kepada rakyat negeri ini. Harga tersebut melangkaui beberapa proses penjualan atau penukaran hakmilik tanah di sekitar kawasan tersebut yang boleh diperolehi dengan mudah sekitar RM10,000 hingga RM15,000, beberapa tahun lalu.

 

Dengan ketiadaan kawalan oleh pihak Kerajaan Negeri mahupun Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak, Pejabat Tanah bersama-sama kontraktor tempatan (tajaan UMNO) mengaut keuntungan yang besar dengan memeras ugut wang bakal pemilik tapak rumah. Inilah bukti kezaliman yang bermaharaja lela di bawah pemerintahan Kerajaan BN pimpinan Tan Sri Ramli Marcos!!~MR