JKKK Bantah Majlis Ugama
18 Julai, 1999 - Beberapa orang Jawatan Kuasa dan Kemajuan Kampong, membantah hasrat Jawatankuasa Masjid Jamek untuk mengadakan majlis ugama berupa forum perdana dengan kerjasama penduduk Islam daerah Chemor.
JKKK tersebut di bawah penyeliaan Ahli Parlimen Kawasan Tambun Hj. Husni Hanadzlah, membantah dengan keras hasrat AJK Masjid Jamek Chemor itu dalam satu mesyuarat bersama-sama dengan Pengerusi Masjid-masjid Negeri Perak, As Syeikh Mohd Noor Mansur Al-hafiz.
Walau bagaimana pun pihak Jawatankuasa Masjid berkenaan berkeras untuk mengadakan majlis forum ugama tersebut memandangkan hanya ini satu aktiviti untuk kepentingan umat Islam yang mampu mereka kendalikan. Ia juga berupa julung kalinya setelah lebih 4 tahun lalu menyepi hingga peranan institusi masjid itu kaku dan sepi dalam melihat kepincangan yang berlaku dalam masyarakat sekeliling.
Imam Besar masjid berkenaan , Tuan Haji Hassan menyatakan bahawa beliau sedia menanggung segala risikonya sekiranya perlaksanaan majlis ugama ini mendapat tentangan pihak yang lebih tinggi daripada JKKK kampong berkenaan.
Ini adalah antara beberapa kisah di mana majlis ugama mendapat tentangan pihak JKKK yang enggan melihat umat Islam berilmu. Penentangan ini disifatkan oleh Imam Besar Masjid Negeri Perak sebagai Abu Jahal dan Abu Lahab yang menentang perjuangan RasululLah semasa mengembangkan Islam lebih 1400 tahun lalu!~MR