UMNO Menegakkan Benang Basahnya!

 

21 Julai, 1999 - Kenyataan Menteri Penerangan Tan Sri Khalil Yaacob semalam, bahawa adalah tidak mungkin parti bukan kerajaan menikmati faedah menyebarkan falsafah kepartian dan perjuangan mereka melalui TV kerana menurut beliau TV adalah milik kerajaan dan hanya untuk menyebarkan dasar kerajaan yang memerintah sahaja.

 

Kenyataan ini sekaligus menolak segala dakwaan yang 'kununnya' kerajaan melalui media perdananya bersikap adil dalam memberikan ruang kepada rakyat serta parti bukan kerajaan untuk menyampaikan mesej mereka melalui TV, terutama menjelang pilihanraya.

 

Melalui satu ruang forum di TV1 jam 8.30 malam tadi juga, RTM bertindak membela keterangan yang mengatakan bahawa TV dan media elektronik bersikap adil dalam menyampaikan berita, tidak condong kepada kerajaan atau bertindak memprovokasi parti bukan kerajaan.

 

Biar apa pun keterangan pihak kerajaan, namun rakyat sudah mengetahui segala tembelang yang tersimpan selama ini tentang hasrat dan peranan media. Sebagaimana semua maklum, dalam media sendiri ada pihak yang tidak menyenangi perbuatan ketua atau sekumpulan yang terlalu membodek kerajaan hingga sanggup memutarbelitkan fakta.

 

Minda Rakyat selaku lidah rakyat golongan bawahan membantah tindakan media yang asyik memprovokasi parti bukan kerajaan hingga melahirkan dan menyokong apa jua bentuk kezaliman hinggakan kebenaran diketepikan. Kepada media perdana kerajaan Minda Rakyat menyatakan usah bersusah payah menegakkan 'benang basah'!~MR