Tafsiran
Perpaduan Ala UMNO!
21 Julai, 1999 - Sesiapa yang masih lagi menonton TV samada
siaran RTM atau TV3, anda pasti dapat menyaksikan pemimpin UMNO hari ini mampu
berhujah menggunakan beberapa patah ayat Al-Quran. Ayat berunsurkan 'perpaduan'
yang dianjurkan itu bermaksud: "Berpegang
teguhlah pada tali Allah, dan janganlah kamu berpecah belah…".
Namun amat sedih kerana walau pun ayat yang dibacakan oleh para pemimpin UMNO itu benar sebagaimana yang terkandung dalam Al-Quran, tetapi tafsiran manakah yang diterima pakai oleh mereka disebabkan mereka telah memesongkan tafsiran sebenar ayat tersebut.
Menurut seorang tokoh ugama, dalam ayat berkenaan Allah menyeru kepada semua umat manusia supaya berpegang kepada prinsip yang diturunkan di dalam Al-Quran. Umat Islam dianjurkan supaya mematuhi hukum hakam yang diwahyukan atau dengan ertikata lain menerima Islam secara menyeluruh meliputi segenap aspek kehidupan samada berekonomi, bersosial, berpolitik, bermasyarakat atau apa jua aktiviti mesti berlandaskan Al-Quran.
Anjuran seterusnya Allah dalam ayat ini setelah manusia berpegang kepada ajaran Allah dan melaksanakan titah perintahNya, maka manusia juga diseru supaya jangan melakukan atau memulakan apa jua yang disifatkan menyeleweng daripada ajaran Islam kerana ini akan membawa kepada perpecahan.
Rakyat diingatkan supaya berwaspada dengan politik UMNO yang mengelirukan dengan menggunakan tafsiran ayat Al-Quran mengikut kepentingan politik mereka. Kenyataan ini pernah diakui oleh bekas senator, Hamzah b. Mohd Zain di dalam satu ceramahnya di Sg. Siput baru-baru ini yang mengatakan bahawa beliau sendiri pada beberapa siri pilihanraya lalu, membaca ayat-ayat berbentuk anjuran perpaduan serta ayat bersyukur yang dikehendaki oleh pimpinan UMNO, untuk menaburkan dakyah di kalangan rakyat 'kununnya' UMNO juga 'Islamic'.
Sambil menasihatkan rakyat supaya jangan mudah terpedaya dengan dakyah perpaduan dan kesyukuran ala UMNO, Hamzah selaku Ketua Bahagian KeADILan Chenderoh, memberitahu bahawa rakyat jangan terkejut kerana 'Islamic'nya UMNO dalam hal ini hanya semata-mata untuk menarik undi!~MR