Jangan Main Api!!!

 

29 Julai, 1999 - Mejar (B) Yahya Ariff bin Kamaruzaman, selaku AJK Perhubungan PAS Perak, semasa menyampaikan ceramah politiknya di mana sahaja dijemput terutama di Lembah Kinta dan daerah berdekatan, beliau sering menegaskan bahawa UMNO jangan terlalu mencabar dan memprovokasi PAS dan parti Alternatif.

 

"Jangan cuba sediakan kolam untuk itik berenang", katanya lagi.

 

Ketegasan Mejar (B) Yahya Ariff ialah merujuk kepada UMNO, melalui pasukan komando gerak gempurnya, mencetuskan beberapa insiden yang tidak disenangi termasuk gangguan terhadap beberapa siri ceramah PAS di negeri ini. Perbuatan sebegini boleh menjejaskan perpaduan dan amalan demokrasi negara ini.

 

Sambil merujuk kepada ahl-ahli PAS bukan terdiri dari Tok Lebai sahaja, PAS kini sudah diterima oleh segenap lapisan masyarakat seperti pakar nuklear, bekas tentera dari pelbagai jawatan, pakar perunding, pakar ekonomi, pakar motivasi, kakitangan kerajaan dan swasta, pegawai-pegawai kerajaan dan swasta, pelajar-pelajar universiti, golongan peniaga, pemandu teksi dan segenap lapisan masyarakat sudah menerima PAS.

 

Malahan, kata Mejar (B) Yahya Ariff, 99 peratus askar Melayu yang bersara sudah menyertai PAS. Jadi kekuatan PAS insyaAllah begitu mantap. Jangan bermain api lagi, katanya sambil memberi amaran kepada UMNO khususnya di negeri Perak.

 

Selaku bekas seorang tentera, Mejar (B) Yahya Ariff menegaskan bahawa beliau sanggup dalam apa jua keadaan bersama PAS meskipun terpaksa bergadai nyawa mempertahankan perjuangan Islam. Jadi hentikan provokasi terhadap PAS, sebagai amaran kepada puak UMNO yang dianggapnya sebagai 'pelampau'.~MR