Ibrahim Akhirnya Mengaku Beliau Katak!
29 Julai, 1999 – Gelaran Al-Kataki yang dilabelkan terhadap Ibrahim begitu serasi dengan perjuangan Senator Ibrahim Ali, yang melompat dari satu parti ke satu parti dalam mencari ‘kepentingan diri’. Malahan dalam ceramahnya semalam di Bagan Serai, Perak, beliau mengakui dirinya dianggap sebagai katak.
"Jika saya katak, maka Marina pula adalah Ibu Katak", katanya menyifatkan Marina Yusof yang melompat ke PKN. Namun sifat manusia melompat ke sesuatu yang lebih baik itu amat digalakkan. Sebaliknya, Ibrahim Ali membuat lompatan yang tidak kena, istimewanya masa kini apabila UMNO sudah jauh dari perhatian dan sokongan rakyat.
Kira-kira 2,000 orang menghadiri perhimpunan bersama Ibrahim Ali di pekan Bagan Serai. Jumlah kehadiran itu adalah sebahagiannya para penyokong parti alternatif yang mahu mendengar apakah hujah Ibrahim Al-Kataki mempertahankan UMNO yang sedang menghadapi krisis sokongan.
Jumlah kehadiran yang meruncing sebagaimana semalam, membuktikan bahawa program UMNO kian luntur dari sokongan rakyat. Sekali lagi Minda Rakyat menyatakan bahawa, hanya taktik kotor sahajalah yang menyebabkan UMNO akan berjaya memerintah semula selepas pilihanraya umum akan datang. Sekiranya pilihanraya dijalankan dengan adil, bersih, cekap dan teratur, maka negara akan mengalami perubahan yang positif melalui Kerajaan yang ditunggu-tunggu rakyat iaitulah Kerajaan Alternatif!~MR