Jejak Maha Firaun Masih Panas!
4 Ogos, 1999 - Lawatan Maha Firaun ke negeri Perak telah memberikan pelbagai kesan ke atas UMNO dan rakyat negeri ini. Hampir di mana sahaja, walau di segenap ceruk rantau hingga membawa ke gerai-gerai, ke kedai kopi, warong, restoran, bar, hotel, mahu pun kemana sahaja, ia masih jadi bualan rakyat jelata.
Ada yang pro dan kontra terhadap Maha Firaun sendiri dan UMNO amnya. Walau pun ada pihak yang masih mahu mempertahankan keutuhan UMNO dan kekuatan pengaruhnya, namun 'peristiwa kelmarin' masih menjadi igauan buruk kepada pemimpin UMNO negeri ini.
Jelas kepada mereka bahawa krisis sokongan dan moral UMNO sudah jatuh terlepuk di mata rakyat. Tinjauan yang dibuat sepanjang dua jam bersama Maha Firaun, Minda Rakyat mendapati amat kurang sekali penglibatan golongan pertengahan umur iaitu antara 25 hingga 45 tahun. Rata-rata yang hadir, jika lelaki berumur ke atas 45 tahun atau remaja lelaki sekitar 15 tahun ke bawah hingga yang berada dipangkuan ibu masing-masing.
Begitu pula mak cik-mak cik, kedatangan mereka dianggap satu 'lepasan kelohan' (release tention) setelah sekian lama terbelenggu dengan kemiskinan dan terperap hanya kampong mengasuh anak dan cucu yang bermain di jalan berlopak.
Kepada anak gadis remaja satu peluang melihat bandaraya Ipoh yang jarang-jarang sekali dikunjungi dan menjadi impian untuk menjalani kehidupan 'ala' remaja bandar, seperti yang ditayangkan saban hari di kaca tv. Akhirnya kedatangan mereka bukan sahaja membantu melengkapkan agenda Ramli Marcos mahupun Maha Firaun, sebaliknya membantu melengkapkan kenyataan bahawa UMNO juga mampu mengumpulkan rakyat jelata, meskipun terpaksa memberikan sogokan wang ringgit dan perkhidmatan bas percuma.
Kepada orang kampong, alangkah baiknya jika setiap minggu atau bulan Maha Firaun datang melawat ke negeri ini, kerana mereka akan merasai nikmat 'melancong' ke bandaraya, sementelahan suami atau anak-anak mereka tidak mampu untuk membawa mereka bersiar-siar disebabkan kais pagi makan petang dan seterusnya kais petang makan pagi esok. Inilah sebenarnya idaman orang kampong.
Kepada Barisan Alternatif dan para pencinta keadilan, satu rahmat disebalik kedatangan Maha Firaun ke negeri ini, kerana disamping mereka berpeluang menjalankan aktiviti perniagaan inilah masanya mereka mengutip kembali 'duit UMNO' yang terjun dari khazanah negara, yang jika ditangani dengan efisyen memungkinkan rakyat hidup dengan mewahnya.
Walaupun kehadiran para penyokong UMNO kelmarin bukanlah ukuran sebenar sokongan terhadap Maha Firaun dan kuncu-kuncunya, namun jelas di mata rakyat bahawa mereka lebih senang berhibur dari mendengar momokan Maha Firaun yang jelek, jijik lagi menjijikkan.
Minda Rakyat berkesempatan merakamkan beberapa senario penting yang berlaku sebagai ukuran dan penilaian bahawa UMNO sebenarnya sudah tidak relevan lagi.~MR