KENYATAAN MEDIA

             ISU WANITA UMNO : KETUA WANITA UMNO PENGECUT

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merakamkan ucapan takziah kepada Pergerakan Wanita Umno di atas sikap pengecut Ketua Wanita Umno yang bertindak seperti kerbau dicucuk hidung oleh Perdana Menteri di dalam memimpin pergerakan tersebut. Rombakan exco Wanita Umno tempoh hari telah ditarik balik dengan begitu memalukan atas arahan diktator Perdana Menteri. Ternyata desakan yang dibuat oleh beberapa exco yang dipecat lebih berwibawa berbanding pandangan Ketua Wanita sendiri.

Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah memalukan Wanita Umno dengan beberapa siri tindakan beliau kebelakangan ini yang dilihat lebih untuk menjaga periuk nasi dan kepentingan diri. Baru-baru ini Zaharah telah bertindak mengarahkan Petronas untuk menukar logo korporat semata-mata untuk menjaga hati Dr Mahathir.

Tindakan menjadi ‘ghurka kedua’ kepada PM menggantikan Tengku Razaliegh telah meletakkan Zaharah pada tempat yang paling rendah pada pandangan Dr Mahathir. Segala arahan dan suruhan PM mesti ditaati untuk mempastikan beliau dapat mengekalkan kedudukan sebagai menteri. Ternyata perlantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini telah disertai dengan janji untuk tidak melawan PM. DPP Pusat melihat tindakan PM untuk tidak melantik beliau
sebagai menteri selama ini walaupun memenangi jawatan Ketua Wanita Umno adalah tepat dan mempunyai asas yang kukuh. Seorang pemimpin yang tidak berpendirian seperti beliau adalah tidak layak untuk berada di tempat teratas dalam kepemimpinan parti.

Peristiwa malang Wanita Umno ini menggambarkan bahawa Wanita Umno bukan lagi badan yang berwibawa di dalam organisasi Umno. Exco-exco yang dilantik tidak mendapat kepercayaan Ketua Wanita dan Ketua Wanita pula begitu mudah dipermainkan oleh Presiden parti. Dr Mahathir sendiri sebenarnya langsung tidak memiliki keyakinan terhadap Siti Zaharah bermula daripada kes Bendahari Wanita Umno pada 1997 sehinggalah kepada kes terbaru ini. Ini membuktikan telah berlaku
diskriminasi terhadap wanita dalam Umno.

DPP Pusat melihat kekalutan organisasi Umno bukan sahaja berlaku di dalam Pemuda Umno akibat sikap 'ikut telunjuk'  bekas Ketua Pemuda dan sikap pondan Pemangku Ketua Pemuda, tetapi juga turut berlaku di dalam kepemimpinan Wanita Umno akibat sikap pesimis Ketua Wanitanya. Seorang ketua seperti Hishamuddin dan Zaharah ini sebenarnya menjadi beban sebagai duri dalam daging kepada organisasi yang sememangnya tidak layak memimpin dan wajar meletak jawatan kerana mempunyai kepentingan peribadi dalam kepemimpinannya.

DPP Pusat berpandangan jika Zaharah melawan arahan PM, beliau juga akan menerima nasib yang sama seperti Dato' Seri Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi dan juga Dato’ Ishak Baharom yang terpaksa akur dengan kediktatoran PM. Zaharah sepatutnya mengambil tanggungjawab untuk membersihkan imej wanita Umno dengan meletakan jawatan dalam parti dan kerajaan kerana beliau bukan lagi orang kepercayaan PM.

DPP Pusat mengambil ruang ini untuk mengajak seluruh pengundi agar mengambil iktibar daripada gaya kepemimpinan Umno yang diktator ini untuk dijadikan penilaian dalam pilihanraya nanti. Penindasan dan kediktatoran ini akan melanda rakyat negara ini jika mereka terus diberi ruang untuk mengekalkan kuasa. Pemimpin yang lemah seperti pemimpin Pemuda dan Wanita Umno juga mesti ditolak untuk memastikan kepemimpinan dinamik dapat dibentuk pada alaf akan datang.
 
IDRIS HAJI AHMAD
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Pusat