Usah Tagih Simpati Rakyat
8 Ogos, 1999 - Di sebalik kejadian bunuh seorang pegawai tertinggi polis di Johor Bahru beberapa hari lalu, Minda Rakyat tidak mahu kerajaan memperbesarkan isu tersebut hingga mengalih perhatian rakyat terhadap beberapa perkara lain yang lebih penting.
Jika ingin memperkatakan soal itu, beberapa persoalan timbul, umpamanya bagaimana 'cuainya' seorang pegawai polis hingga rumahnya boleh dipecah masuk. Begitu juga cuainya pegawai bawahan yang selalunya meronda ke rumah-rumah pegawai atasan paling lama 1 jam 1 kali. Banyak lagi persoalan yang boleh menimbulkan keraguan di sebalik peristiwa sedih itu.
Yang pergi, tetap pulang menemui Ilahi. Jangan perkara ini dijadikan alasan untuk memburu orang yang tidak berdosa dan tidak ada kena mengena dalam hal ini. Pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri jangan menjadikan peritiwa ini sebagai 'tekanan' terhadap rakyat hingga ianya boleh mengancam keselesaan semua pihak atau meminda mana-mana akta yang seringkali menyiksa rakyat serta menzalimi mereka. Tidak salah menjalankan siasatan untuk mencari pembunuh yang dikehendaki, tetapi dalam hal ini jangan gunakan kezaliman dan penyiksaan, hanya semata untuk mencari maklumat.
Jika pihak polis benar-benar mahu menegakkan keadilan, Minda Rakyat ingin bertanya, bagaimana seorang 'penjenayah besar', 'perompak dan kepala lanun' yang menumbuk DSAI dalam selnya dengan keadaan tangan bergari dan mata ditutup, tidak terus disiksa dan dihukum, sebaliknya masih bebas?~MR