Laksanakan Rumah 'Sewa Beli'

11 Ogos, 1999 - Beberapa orang bekas pentadbir tanah negeri ini menyatakan bahawa Kerajaan perlu melaksanakan kembali dasar rumah 'sewabeli' jika benar-benar ikhlas mahu membantu rakyat miskin negeri ini. Ini berikutan desakan keperluan kediaman oleh rakyat dan setinggan yang melebihi 20,000 buah keluarga negeri ini.

Suatu masa dahulu, iaitu pada masa MB Wan Mohamad Wan Teh, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, berjaya melaksanakan sekim rumah 'sewabeli' hampir di seluruh daerah di negeri ini. Program ini mendapat sambutan yang baik dari rakyat terutama yang miskin dan tidak berkemampuan.

Program ini yang sudah berjalan hampir 25 tahun lalu, sudah pun menganugerahkan hakmilik kepada mereka yang berjaya membayar secara sewabeli rumah kos rendah pada harga sekitar RM18,000 dan RM15,000. Kerajaan negeri perlu kembali kepada konsep 'sewabeli' ini, jika mereka benar-benar jujur, mahu mengatasi masalah kediaman rakyat, kata wakil bekas pentadbir itu lagi.~MR