Ahli Parlimen Halang Hasrat Penduduk Islam

12 Ogos, 1999 - Haji Husni Hanadzlah, Ahli Parlimen Tambun bertindak secara tidak relevan apabila beliau cuba menghalang daripada jayanya bantahan penduduk Islam Chemor terhadap sekim perumahan bercampur yang diluluskan di sekeliling masjid Tanah Hitam.

Maklumat yang diterima mengatakan Ahli Parlimen itu telah menemui AJK Bertindak dan memperdaya mereka untuk menyerahkan dokumen memorandum yang mengandungi persetujuan bertulis sebahagian masyarakat Islam daerah itu, serta lain-lain dokumen sokongan yang penting.

Beliau kemudiannya bertindak secara sendirian dan hingga kini masih menyimpan segala dokumen termasuk permohonan tanah asal di atas tanah yang telah diluluskan sekim perumahan bercampur. Maklumat yang diterima mengatakan para AJK Bertindak sudah beberapa kali menemuinya tetapi beliau enggan menyerahkan. Tindakan Haji Husni Hanadzlah mendapat reaksi masyarakat Islam daerah Chemor yang kini 'mendendami' beliau.~MR