Awas buku burukkan parti alternatif

Oleh Amir Ramadzan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Buku-buku yang memburukkan parti-parti alternatif dan pemimpin semakin banyak diedarkan secara terbuka di kalangan rakyat untuk mempengaruhi pemikiran mereka agar terus menyokong Barisan Nasional (BN).

Tinjauan Harakah mendapati terdapat beberapa buku baru yang diedarkan termasuklah Azizah, Adil atau Keadilan, 19 Perbezaan Umno dan PAS dan Dalil-dalil Allah Mencarut.

Buku Azizah, Adil atau Keadilan yang tidak mencatatkan nama penerbit menghentam Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) terutamanya dan mendakwa kumpulan pembangkang bersekongkol dan bekerjasama dengan kuasa asing dan media asing untuk menjatuhkan kerajaan.

Buku itu juga membuat pelbagai dakwaan palsu termasuk pembangkang akan menggilirkan jawatan Perdana Menteri, penyokong reformasi terdiri daripada golongan yang kecewa dan beberapa individu dalam KeAdilan adalah pengkhianat.

Manakala buku-buku 19 Perbezaan pula mencatatkan penerbitnya sebagai Kumpulan Rakyat Berwawasan merupakan koleksi kartun yang mendakwa PAS dengan pelbagai tuduhan termasuk mempergunakan agama dan tidak memperjuangkan kemerdekaan negara.

Buku itu juga membuat dakwaan palsu bahawa PAS mengganggap hanya mereka yang menyertai parti itu sahaja yang beragama Islam dan PAS tidak sopan, memaki dan mencarut.

Kulit buku Dalil-Dalil Allah Mencarut pula membayangkan seolah-olah ianya ditulis oleh Mursyidul Am PAS, Dato' Nik Abd. Aziz Nik Mat tetapi kulit belakangnya menjelaskan ia diterbitkan Biro Hal Ehwal Islam Umno Malaysia menuduh PAS menghalalkan mencarut, memaki dan sebagainya.

Buku itu juga mendakwa Nik Aziz menggunakan kaedah Machiavelli iaitu kaedah menghalalkan cara dalam perjuangan PAS dan beliau perlu bertaubat kerana membenarkan mencarut.

Di samping itu, dakwa buku itu, Nik Aziz melakukan pembohongan besar, sesat dan menyesatkan kerana tindakannya itu sedangkan umum mengetahui perkara yang sebenarnya.

Buku-buku seperti itu adalah taktik Umno untuk mengelirukan rakyat berikutan sokongan rakyat terhadap parti itu semakin menurun dengan pelbagai penyelewengan, salah guna dan pembohongan yang dilakukan dibongkarkan

Ihsan Harakah