Saya merasa amat terpanggil untuk menyatakan sepatah dua kata kepada Astora Jabat setelah beliau menggunakan kesempatan akhbar Mingguan untuk memperluaskan propaganda UMNO dengan kenyataan yang boleh menyesatkan aqidah umat Islam negara ini.
Walau pun di dada akhbar hari ini, Astora dengan angkuh mengatakan beliau tidak mahu berdebat dengan seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi negara melalui forum debat atau email, cukup sekadar dengan membaca penulisannya maka saya rasa Astora bukan berpendirian sebagai seorang mukmin sejati.
Perlu juga saya katakan di sini saya tidak melihat keperibadian Astora dalam memberikan hujah kepada anda. Saya hanya menilai penulisan dan hasrat yang anda cuba sampaikan melalui penulisan itu. Maaflah seandainya saya mempunyai tafsiran sendiri setelah membaca penulisan saudara, disebabkan kelemahan bahasa atau tersilap menyusun bicara. Juga saya katakan, tidak perlu memiliki ijazah bergulung atau apa sahaja bagi saya menyusun kata membahaskan bicara Astora. Cukup sekadar memiliki secebis iman yang kental serta penuh keyakinan terhadap Allah (yang mesti terbit dari keikhlasan hati, diikuti dengan percakapan dan perbuatan kita) dengan Al-Quran dan Hadis sebagai panduan.
Beberapa minggu saya baca ruangan agama di MM sudah menyimpang dari kehendak ugama Islam sendiri. Namun terbitan MM yang menyiarkan tulisan Astora berhubung dengan takrif sekular dan hukum hudud hari ini, maka saya mengambil keputusan untuk memperkatakan sesuatu tentang penulisan saudara. Ini adalah kerana saya tidak mahu menafikan bahawa ada di antara umat Islam negara ini yang berguru dengan akhbar, kerana jijik memegang Al-Quran atau kerana berasa diri tidak suci lagi untuk menyentuh dan membaca Al-Quran kerana dosa sendiri.
Akhirnya dengan hanya berpandukan penulisan seumpama Astora Jabat hasilkan, maka lahirlah generasi Islam Melayu baru yang sesat lagi menyesatkan. Astora Jabat harus mengambil kira amaran ini kerana perbuatan menyesatkan orang lain satu perkara yang menyebabkan kita akan menanggungnya di padang Mahsyar, di Mahkamah Rabbul Jalil.
Sebelum saya memulakan penulisan ini ingin saya sentuh satu hadis nabi, ketika beliau hampir wafat sempat beliau bersabda:
"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, selama mana kamu berpegang kepadanya, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitulah Kitabullah (Al-Quran) dan Sunahku (Hadis Nabi)" - riwayat Muslim.
Saya kemukakan hadis di atas untuk mengembalikan ingatan dan pemikiran saudara Astora bahawa panduan kita ialah Al-Quran dan Hadis Nabi, bukan yang lain. Sedangkan tafsiran ayat Quran pun pernah diselewengkan atau memberikan penafsiran yang kurang tepat seperti kitab tafsir dari aliran Mu'tazilah dan aliran Syiah yang menghasilkan kitab seperti Kitab Majaalasusy Syariff al Murtadha. Justeru kegemaran saudara Astora menggunakan beberapa kitab falsafah dan kitab yang didakwa membawakan pegangan Umar AlKhattab yang menafikan hukum hudud, sangat diragukan kebenarannya.
Allah berfirman (maksudnya):
"Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa, (iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka." - Al-Baqorah ayat 2 - 3
Pertama sekali hujah saya ialah berkenaan kewajipan diri kita jika mengaku sebagai orang Islam dari umat Muhammad bahawa kita mesti condong kepada Islam, bukan yang selain darinya. Condong kepada Islam dengan ertikata mempertahankan dan membela apa yang tersurat dalam suruhan Allah, melalui firmannya dan juga sabda Nabi Muhammad s.a.w. lebih dari mempertahankan apa sahaja kepentingan kita di dunia ini. Ini adalah ujian Allah yang maha besar kepada hambanya.
Allah berfirman (maksudnya):
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supay kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wayhukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana (membela orang) yang khianat. Dan mohonlah ampun kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan janganlah kamu berdebat (untuk membela) orang-orang yang mengkhianati dirinya. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat khianat dan bergelumang dosa" An Nisaa':105-107
Sesudah kita menjadi pembela kepada Islam, kewajipan kita tidak setakat itu sahaja. Malahan tugas utama manusia sebagai khalifah dibumi ini sudah jelas, kerana gunung ganang, bukit bukau tidak mampu melaksanakan tugas khalifah di muka bumi melainkan atas kemampuan manusia itu sendiri.
Dalam Al-Quran Allah menyeru semua manusia supaya menerima Islam secara syumul (keseluruhan), bukan sekadar makan minum menurut kehendak Islam, tidur dan pakai, justeru lebih tepat dan lebih jelas seluruh kehidupan kita mesti berlandaskan kepada kehendak Islam. Apa sahaja perbuatan kita hatta hendak membuang 'shit' pun mesti mengikuti kehendak dan ajaran Rasulullah s.a.w.
Allah berfirman (maksudnya):
"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu kedalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu" - Al-Baqorah:208
Dalam Islam tiada pengertian sekerat-sekerat. Jika mahu makan, minum, nikah, kahwin mesti ikut Islam. Ekonomi, sosial dan politik jangan ikut Islam, ikut amalan semasa. Itukah yang saudara Astora Jabat maksudkan? Keseluruhan dalam konteks ayat di atas sudah mencakupi seluruh bidang kehidupan kita sebagai insan. Apa yang perlu saudara beri perhatian, bahawa kandungan Al-Quran itu tiada sebarang keraguan terhadap masalah dan penyelesaiannya terhadap kehidupan manusia sejak 1,400 tahun lalu hingga ke hari kiamat, kecuali bagi orang yang tidak pernah memegang, menyentuh dan membaca Al-Quran.
Tetapi apa yang nyatanya hari ini apabila dikatakan tidak 'Islamic' (memperlihatkan sifat sebagai orang Islam) dia menafikan dan mengaku orang Islam sambil berdegar-degar penerangan dan hujah dia seorang Islam. Sifat manusia sebegini Allah gambarkan dalam Al-Quran bermaksud:
"Di antara manusia ada orang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas dakwaan kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling keras" Al_Baqorah:204
Kemudian mungkin timbul di benak hati saudara Astora bahawa ramai yang ingin berhujah dengan beliau melalui email dan forum debat melalui kecanggihan elektronik tentang perjuangan Islam. Mengapakah saudara kaitkan mereka dengan PAS, jika mereka berhujah tentang Islam. Sedarkah saudara, mereka sebenarnya berlumba-lumba mahu menyahut cabaran saudara walaupun setakat ini (yang saya fahami) saudara masih enggan menerima pelawaan itu. Ini adalah kerana mereka mahu mempertahankan hak (kebenaran). Mereka mahu dianggap sebagai penolong-penolong Allah dan enggan bersekongkol dengan selain dari Allah (taghut).
Perlumbaan mereka kerana mereka faham Islam dan tahu mempertahankan Islam itu satu kewajipan yang diistilahkan sebagai jihad. Gugur mereka atau tewas mereka seandainya dalam perjuangan itu ada nilai di sisi Allah dan merekalah para mujahid sejati. Orang yang berdiam diri dan tidur lena berbanding dengan para mujahid nilainya tidak sama disisi Tuhan. Apa lagi jika tidak condong dan mahu mempertahankan Islam seperti hasil penulisan saudara yang mahu mempertahankan UMNO dengan mengemukakan berbagai alasan supaya Islam tidak dilaksanakan, hingga melupakan siapa diri saudara, ugama saudara, Tuhan, keturunan, asal kejadian saudara dan pengembalian kita nanti.
Allah berfirman (maksudnya):
"Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (tidak turut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwa mereka. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya (berbanding dengan orang-orang yang duduk) satu darjat. Kepada masing-masing mereka, Allah menjanjikan mereka pahala yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad (berbanding dengan orang-orang yang duduk) dengan pahala yang besar" - An Nisaa: 95
Justeru itu ramai para mujahid mahu berdebat dengan saudara bagi mempertahankan Islam dan yang berkaitan dengannya, termasuklah perlaksanaan hukum hudud. Hukum hudud itu bukan kepunyaan sesiapa PAS atau UMNO, tetapi ianya adalah satu peraturan yang ditetapkan Allah bagi menjamin keadamaian dan keselesaan hidup serta memelihara semua pihak dari semua bangsa dalam kehidupan manusia di sunia.
Begitu Maha Agung Allah kerana Dia bukan sahaja mencipta manusia atau makhluknya, tetapi siap sekali dengan peraturan kehidupannya. Namun hanya manusia yang ingkar dan mahu menunjuk pandai, termasuklah hasil penulisan saudara yang seolah-olah memberikan tafsiran kepada saya bahawa saudara mengingkari serta menafikan hukum dan peraturan Allah.
Kepada yang menyedari bahawa hukum Allah perlu dilaksanakan sebagai satu kewajipan (fardu kifayah) maka mereka berjuang melalui saluran tertentu supaya hukum dan peraturan itu dilaksanakan. Hanya satu badan politik yang memperjuangkan tertegakkan hukum Islam di negara ini, secara kebetulan ialah PAS. Kerana ini kita mesti sokong PAS, ahli atau bukan ahli tidak penting. Tetapi pejuangan Islam dan menegakkan kalimah Allah mesti disokong.
Di dalam Al-Quran orang yang tergolong dalam hasil penulisan seperti saudara diistilahkan sebagai 'perusuh' dan 'pengacau keamanan'. Allah berfirman (maksudnya):
"Sesungguhnya pembalasan bagi orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka (layak) dibunuh dan disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu sebagai satu penghinaan untuk mereka di dunia dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang lebih besar." Al-Maidah: 33
Begitu agung tafsiran Allah tentang 'perusuh' dan pengacau keamanan'. Bukan seperti tafsiran hari ini yang melihat sebagai mereka yang berdemontrasi aman di jalan raya dan penentang kezaliman dikatakan perusuh dan pengacau keamanan. Tafsiran manakah yang dibawa oleh saudara dan pengampu UMNO yang lain, untuk menegakkan taghut dan kezaliman? Ia jelas berbeda dari tafsiran Allah yang mengiyakan bahawa perusuh dan pengacau kemanan itu layak dipotong tangannya kerana membuat kerosakan terhadap Islam (menulis tidak condong kepada Islam juga seharusnya dalam golongan ini).
Justeru itulah Allah menyarankan kepada manusia supaya ditegakkan hukum Islam tetapi ramai manusia mahu mengingkarinya dengan berbagai dalihan. Allah berfirman (maksudnya):
"Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka telah kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" - Al Maidah:38
Dan keagungan peraturan Allah itu perlu dengan caranya. Jika dipencuri itu mahu bertaubat dan meninggalkan pekerjaannya maka ia perlu kepada peraturan yang lain pula. Soalnya jika Islam dilaksanakan di negara ini, benarkah semua para Menteri akan dipotong tangan mereka kerana mencuri harta negara, merompak dan menyamun secara terhormat? Justeru itu mereka benar-benar mahu Islam tidak dilaksanakan kerana bimbang segala muslihat akan diketahui umum bahawa mereka adalah dari kalangan perompak (setelah tangan mereka kudung).
Dan amat bodohlah saudara mempertahankan tahgut (yang lain dari Islam) kerana hukum dan peraturan hanya ada dua macam iaitu yang berprinsip kepada hukum Allah dan hukum taghut (ciptaan manusia dalam pelbagai nama seperti demokrasi, otokrasi, dsbg). Golongan seperti ini Allah cabar sebagaimana firmannya bermaksud:
"Katakanlah: 'Apakah kita akan menyeru selain dari Allah, sesuatu yang tidak mendatangkan kemanfaatannya kepada kita dan tidak pula mendatangkan kemudharatan kepada kita dan (apakah) kita akan dikembalikan ke belakang (syirik) sesudah Allah memberi petunjuk kepada kita..." Al-Anaam: 71
Saudara Astora perlu menyedari bahawa di dalam Al-Quran Allah menyifatkan mereka yang zalim itu terdiri dari orang yang enggan menjalankan hukum dan peraturan Allah serta mereka yang menyembunyikan peraturan dan ayat Allah. Tegasnya dua golongan yang dikenalpasti bersifat zalim iaitu pemerintah yang enggan menjalankan hukum Allah dan para ulama yang tidak berani menyatakan ayat Allah terutama apabila ia bercanggah dengan kehendak Islam.
Saudara semaklah di mana sahaja ayat suci Al-Quran, rata-rata akan memperlihatkan ciri kezaliman itu seperti saya sebutkan di atas. Jadi tegasnya zalim mengikut kaca mata Islam dan dari perspektif Allah sendiri ialah dua golongan di atas. Kerana itulah sekarang ada perjuangan menentang kezaliman. Allah berfirman (maksudnya):
"Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat kedustaan terhadap Allah atau yang berkata: 'Telah diwahyukan kepada saya, padahal tidak diwahyukan sesuatu kepadanya, dan orang yang berkata: 'Saya akan menurunkan (melaksanakan) seperti apa yang Allah turunkan (laksanakan)". .. Al Anaam:93
"Dan siapakah yang lebih zalim dari orang yang telah diperingatkan dari ayat Tuhannya lalu dia berpaling kepadanya dan melupakan apa yang telah dikerjakan oleh kedua tanganya.... Al Kahfi: 57
"Maka orang-orang yang zalim di antara (ciri) mereka itu menggantikan (perlaksaan yang baik anjuran Allah) dengan perkataan (perlaksanaan) yang tidak dikatakan kepada mereka, maka Kami timpakan atas mereka azab dari langit disebabkan kezaliman mereka" - Al A'raaf:162
"Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang Kami telah berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi Al-Quran), kemudian dia melepaskan diri dari ayat itu (dengan mengemukakan berbagai alasan), lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat" Al A'raaf:175
"Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (darjat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dijelirkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menjelirkan lidahnya (juga). Demikianlah itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kepada mereka kisah-kisah agar mereka berfikir. Al A'raaf:176
"Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim" - Al Araaf:177
Jadi sebagai kesimpulannya, untuk apakah saudara bermati-matian mempertahankan taghut (selain dari Islam) seperti UMNO kerana telah terbukti selama 42 tahun memerintah negara ini mereka melakukan kezaliman yang berpanjangan. Sebagai seorang Islam saya perlu berkata sesuatu kepada saudara kerana saya dapati tulisan saudara sudah menghina Islam dan hukum Allah.
Jika kita tidak berkeupayaan melaksanakan sesuatu seperti kehendak Allah sekalipun, jangan sesekali kita mengatakan bahawa apa yang Allah turunkan itu tidak sesuai atau tidak boleh berhadapan dengan alaf secanggih ini. Sebenarnya saudara lupa kecanggihan ini milik siapa? Mengapakah langit yang tiada bertiang tidak dikatakan 'canggih' atau air yang tidak pernah kering di lautan disifatkan sebagai 'canggih'. Apakah hanya ciptaan manusia mahu diistilahkan sebagai canggih hingga membelakangkan hukum dan peraturan Allah?
Sebagai seorang Islam saudara perlu bertaubat dari tersesat dalam sokongan dan menyesatkan orang lain melalui penulisan.Sebaik-baiknya gunakan kelebihan saudara mengolah ayat untuk mengagungkan Allah, bukannya condong kepada kezaliman yang pasti suatu hari nanti saudara akan menyesalinya!!
Saudaraku Astora Jabat, bertaubatlah!!!
Allahu Akbar!!!
Polong Cyber