Ku Li pembohong besar

 

 

Tuan Guru Dato' Nik Abd. Aziz
PASIR MAS: Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pembohong kerana mendakwanya pernah menjadi ahli Umno pada tahun 1960-an iaitu selepas pulang dari Mesir.

"Dia berlawok (bohong) hidup-hidup ... saya tidak pernah jumpa dengan Ku Li untuk meminta jawatan daripadanya. Saya tidak pernah pun menjadi ahli Umno," katanya.

Beliau menyifatkan Ku Li sebagai pelawak (pembohong) besar kerana mendedahkan kononnya beliau pernah menjadi ahli Umno. Baru-baru ini, Ku Li sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, mendakwa Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz pernah menjadi ahli Umno sebelum bertanding mewakili PAS pada pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir pada 1967.

Malah Ku Li mendakwa Menteri Besar Kelantan itu pernah menjadi ahli Umno selepas beliau (Tuan Guru) berjumpa dengannya bagi mengadu nasib kerana tidak mempunyai pekerjaan setelah menamatkan pengajian di Mesir.

Tuan Guru berkata, orang pertama sekali berjumpa dengan beliau sebelum memegang jawatan sebagai Penyelia Kelas Dewasa ialah Allahyarham Ismail Omar dan Allahyarham Nik Sin Kubang Kerian.

"Inilah orang pertama yang kemukakan perkara itu kepada saya. Kemudian saya berhenti dari jawatan tersebut selepas ditawarkan mengajar di Maahad Muhamadi.

"Bukan jenis saya jumpa seseorang pemimpin untuk mencari rezeki, hendakkan sesuatu jawatan," katanya selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Menengah Agama (Arab) Ismailliah Binjai Manis. Pohon Buluh, baru-baru ini.

Menteri Besar juga berkata, beliau meletakkan dua syarat sebelum bersetuju menerima tawaran tersebut iaitu mengajar ilmu agama mengenai apa yang dipelajari dan tidak boleh mengajar seperti yang dikehendaki pihak berkenaan.

"Saya mesti bersyarah di depan orang apa yang saya belajar dan tidak sekali-kali mengikut telunjuk pihak tertentu," katanya.

Beliau dijanjikan gaji sebanyak RM300 sebagaimana dalam borang permohonan tetapi apa yang dibayar kepadanya, katanya, ialah RM295. Beliau tidak tahu ke mana lagi RM5 yang dijanjikan.

"Syarat yang kedua, saya tidak boleh bekerja tiap-tiap malam, sebagaimana orang lain (kawan-kawan yang lain). Saya kata saya hanya boleh mengajar tiga malam dalam seminggu," tambahnya.

Menurutnya, akhir sekali pihak berkenaan menerima syarat itu dan dibenarkan beliau mengajar hanya tiga malam seminggu dan menyampaikan syarahan agama seperti yang dipelajari.

"Saya tidak mahu syarah (ceramah) seperti orang lain, saya tahu orang itu (majikan) akan suruh saya cakap mengenai parti tetapi saya tidak mahu," katanya.

Sementara itu, pelbagai pihak di negeri ini menyifatkan Ku Li sebagai seorang ahli politik yang sudah bankrap dan banyak kenyataannya dibuat secara semborono.

Kata mereka, ini mencerminkan seorang ahli politik yang sudah muflis idea untuk berdepan dengan rakyat Kelantan.

Ihsan:Harakah