SIDANG MEDIA TERGEMPAR

DR MAHATHIR MESTI KELUAR SEGERA DARIPADA RUSSIA

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) mendesak Kerajaan Malaysia untuk memanggil pulang segera Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed daripada Russia berikutan tindakan Russia mengugut dan menyerang negara umat Islam yang baru merdeka, Dagestan. Tindakan Dr Mahathir yang sengaja meneruskan lawatan kerja beliau ke Khabarovsk, Russia ketika negara kuffar itu bertindak begitu sombong dan angkuh terhadap umat Islam adalah amat mengecewakan dan mamalukan umat Islam di seluruh dunia.

Dr Mahathir sebagai seorang pemimpin yang mendakwa memimpin negara umat Islam yang kononnya sentiasa responsif terhadap masalah umat Islam seluruh dunia sewajarnya membatalkan lawatan tersebut sebagai bantahan terhadap tindakan buas Russia ini. Kerakusan Russia mesti diajar dengan memperlihatkan ikatan persaudaraan yang kukuh di kalangan umat Islam. Segala kepentingan politik dan perdagangan mestilah dikebelakangkan ketika Russia memperlihatkan sifat kebinatangannya terhadap umat Islam.

DPP Pusat merasa hairan bagaimana Perdana Menteri boleh meneruskan lawatan beliau ke Russia ketika negara itu menindas umat Islam, sedangkan di dalam negeri beliaulah orang yang lantang mengutuk parti-parti pembangkang yang dituduh menjadi agen asing yang dibimbangi akan menggelapkan politik umat Islam di negara ini. Tindakan Perdana Menteri ini adalah suatu counter productive terhadap prinsip yang beliau laungkan selama ini, kerana itu DPP Pusat mendesak Perdana Menteri untuk menamatkan segera lawatan dan keluar segera daripada Russia. Tindakan Perdana Menteri yang melawat Russia sedangkan beliau tahu apa yang sedang berlaku di Dagestan adalah satu tindakan biadap terhadap umat Islam. Inilah sikap hipokrit Perdana Menteri yang menuduh pembangkang sebagai agen asing sedangkan beliau sendiri bersekongkol dan bersekedudukan dengan negara pengganas antarabangsa yang memusuhi umat Islam dan manusia seluruhnya.

DPP Pusat juga melihat pemergian Perdana Menteri ke Timur Jauh Russia ini sebagai satu pengiktirafan Kerajaan Malaysia terhadap tindakan biadap Russia ke atas umat Islam di Dagestan. Sekiranya kerajaan BN benar-benar ikhlas terhadap umat Islam, Perdana Menteri mesti menamatkan lawatan dan membuat kutukan yang paling keras terhadap tindakan Russia seperti mana Perdana Menteri pernah mengutuk George Soros akibat serangan mata wang spekulator Yahudi tersebut. Malaysia sepatutnya melancarkan konfrantasi politik dan ekonomi terhadap Russia berikutan tindakan kebinatangan mereka itu.
 
 

DPP Pusat juga mendesak dengan keras agar kerajaan segera menyatakan pendirian mereka terhadap tindakan Russia yang menyerang Dagestan. DPP Pusat mengharapkan kerajaan tidak mengutamakan kepentingan politik yang sempit dengan tidak mengiktiraf kemerdekaan Dagestan berikutan amaran daripada Russia kepada negara-negara umat Islam semalam. Sebagai negara umat Islam yang bermaruah, Malaysia mesti mempertahankan usaha mengekalkan kemerdekaan negara umat Islam sesuai dengan laungan kerajaan agar rakyat negara ini menghargai dan menghayati kemerdekaan negara.

DPP Pusat menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mengambil iktibar daripada sendiwara politik Dr Mahathir yang menuduh parti-parti alternatif sebagai agen asing sedangkan beliau sendiri bersama-sama dengan negara pengganas menindas umat Islam di seluruh dunia. Pengalaman pahit umat Islam dan rakyat Iraq pada 1989 yang ditindas oleh tentera bersekutu PBB dengan disokong oleh Malaysia membuktikan bahawa kerajaan negara ini yang diterajui oleh BN adalah agen asing yang sentiasa bersekongkol dengan musuh umat Islam.
 
 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
(16 OGOS 1999)